IBTE umum penamaan semula pusat-pusat latihan

IBTE umum penamaan semula pusat-pusat latihan

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Izah Azahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) mengumumkan penamaan semula pusat-pusat latihan di bawah pentadbirannya bertujuan meningkatkan imej pendidikan teknikal dan vokasional supaya menjadi lebih menarik sebagai laluan kerjaya alternatif.

Langkah tersebut adalah salah satu inisiatif strategik di bawah transformasi pendidikan teknikal dan vokasional di Brunei Darussalam, sekali gus mencerminkan bukan sahaja kepentingan pendidikan teknikal dalam pembangunan negara tetapi juga untuk menonjolkan persepsi yang lebih positif dalam sistem pendidikan ini kepada orang ramai.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat IBTE, Haji Mohammad Fadzillah bin Haji Abdullah berkata, berikutan penamaan semula itu, pusat-pusat latihan di bawah IBTE akan dikenali sebagai kampus dan telah ditukar kepada nama baru.

Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah kini dikenali sebagai IBTE Kampus Jefri Bolkiah; Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam dikenali sebagai IBTE Kampus Nakhoda Ragam; Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah dikenali sebagai IBTE Kampus Sultan Bolkiah; Sekolah Vokasional Wasan dikenali sebagai IBTE Kampus Agro-Teknologi; Sekolah Perdagangan dikenali sebagai IBTE Kampus Bisnes; manakala Pusat Latihan Mekanik dikenali sebagai IBTE Kampus Mekanikal.

Haji Mohammad Fadzillah bercakap semasa sidang media yang berlangsung di Bilik Persidangan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Gadong, kelmarin.
Haji Mohammad Fadzillah bercakap semasa sidang media yang berlangsung di Bilik Persidangan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Gadong, kelmarin.
Logo rasmi baru IBTE.
Logo rasmi baru IBTE.

Bercakap dalam satu sidang media yang berlangsung di Bilik Persidangan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Gadong, di sini pagi ini, Haji Mohammad Fadzillah berkata, penamaan semula pusat-pusat latihan di bawah pentadbiran IBTE dan pembentukan dua rangkaian sekolah telah mendapat kelulusan melalui warkah dari pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Katanya, IBTE telah pun menjalani proses transformasi sejak 2014 dan sebahagian daripada pelan transformasi adalah penyatuan institusinya yang telah dijenamakan semula di bawah satu nama iaitu Institut Pendidikan Teknikal Brunei atau IBTE.

Semasa sidang media itu, beliau turut memperkenalkan logo rasmi baru IBTE yang akan menggantikan logo lama berkuat kuasa pada 1 Julai 2016.

Logo rasmi IBTE adalah untuk digunakan bagi urusan kampus bagi semua perkara termasuk surat-menyurat, penerbitan, papan tanda, produk, acara dan lain-lain.

Sementara itu, Pengetua IBTE Sentral, Dr. Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid berkata, penubuhan dua rangkaian sekolah bertujuan untuk menyediakan sistem pengurusan yang berkesan dan cekap bagi kampus-kampus di bawah IBTE.

“Selain memudahkan perkongsian kemudahan, infrastruktur dan sumber manusia, langkah ini akan menyediakan pendekatan penjimatan kos dalam kos pengendalian operasi IBTE, mengawal perbelanjaan dan juga bermanfaat dari segi skala ekonomi,” jelas beliau.

Katanya, hasil daripada beberapa siri perbincangan dengan ahli-ahli utama pasukan pengurusan IBTE serta kakitangan, mencadangkan bahawa tujuh pusat latihan di bawah IBTE disusun semula menjadi dua rangkaian sekolah sebagai IBTE Sentral dan IBTE Satelit.

Di bawah IBTE Sentral dan IBTE Satelit, mereka dibahagikan kepada sembilan sekolah yang berkelompok mengikut bidang pengkhususan masing-masing.

Kelompok IBTE Sentral mengandungi School of Aviation, School of Business, School of Building Technology Services, School of Energy & Engineering, Sekolah Hospitaliti dan Sekolah ICT.

Manakala, kelompok IBTE Satelit adalah School of Energy & Engineering, Sekolah Akademi Maritim Brunei dan Sekolah Agro-Technology & Applied Sains.

IBTE Sentral mentadbir dan menguruskan empat kampus IBTE yang terletak di Daerah Brunei dan Muara, terdiri daripada IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, IBTE Kampus Nakhoda Ragam, IBTE Kampus Bisnes dan IBTE Kampus Mekanikal.

Manakala IBTE Satelit pula mentadbir dan menguruskan kampus IBTE di Daerah Belait dan juga Daerah Brunei dan Muara yang terdiri daripada IBTE Kampus Jefri Bolkiah, IBTE Kampus Sultan Bolkiah dan IBTE Kampus Agro-Teknologi.

ARTIKEL YANG SAMA