IBTE, Velosi meterai MoU

IBTE, Velosi meterai MoU

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Industri kimpalan akan terus menunjukkan persaingan positif sebagai kaedah paling jimat dan efisien dalam mengekalkan integriti struktur sambungan atau komponen besi dengan bukan besi termasuk plastik dan komposit.

Oleh itu, secara realitinya peluang yang wujud dalam industri kimpalan masih lagi terbuka luas, jelas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Awang Habib Mohammad bin Haji Wan Junaidi.

Bagi menyediakan latihan yang berkualiti untuk membantu pertumbuhan negara khususnya bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang kimpalan, IBTE dan Velosi (B) Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), jelas beliau semasa berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara IBTE dan Velosi Sdn Bhd di Longhouse Training Restaurant, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.

Awang Habib Mohammad percaya MoU itu merupakan platform yang boleh meningkatkan lagi kualiti kursus-kursus kejuruteraan kimpalan yang ditawarkan oleh IBTE dengan adanya Velosi (B) Sdn Bhd sebagai rakan kongsi aktif.

MoU itu juga memberikan faedah dari segi pembangunan kurikulum yang akan menyediakan peluang bagi para pelajar dan kakitangannya untuk mengambil bahagian dalam program penempatan industri di syarikat itu nanti.

Haji Rosli (kiri) dan Awang Norjemee (kanan) menandatangani MoU sambil disaksikan oleh Awang Habib Mohammad (tengah).
Haji Rosli (kiri) dan Awang Norjemee (kanan) menandatangani MoU sambil disaksikan oleh Awang Habib Mohammad (tengah).

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menyusun perkongsian maklumat, bahan-bahan pendidikan dan latihan pemeriksaan kualiti kimpalan dan Non-Destructive Testing (NDT).

“MoU itu juga membantu memberikan bimbingan dalam Sistem Pengurusan Kualiti dan Kesedaran Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran (HSSE) serta membantu para pelajar dan kakitangan yang merancang untuk meneroka bidang pemeriksaan kualiti kimpalan dan NDT sebagai kerjaya mereka.

Pada majlis berkenaan, MoU ditandatangani oleh Pengetua Satelit IBTE, Awang Norjemee dan Pengurus Besar Velosi (B) Sdn Bhd, Haji Rosli bin Haji Daud yang disaksikan oleh Awang Habib Mohammad.

Menerusi perjanjian itu, Velosi (B) Sdn Bhd yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang pemeriksaan kualiti kimpalan, dan IBTE Kampus Sultan Bolkiah yang menawarkan program fabrikasi dan kimpalan, masing-masing menyatakan persetujuan untuk menghasilkan program berkualiti yang memenuhi piawaian dan spesifikasi industri supaya dapat melahirkan pekerja profesional dalam industri berkenaan.

Pada masa yang sama, perjanjian itu turut memberi peluang dan pendedahan kepada para pengajar supaya dapat mengikuti latihan industri bagi menaik taraf kualiti pengajaran mereka.

Pada masa ini, pihak Velosi (B) Sdn Bhd telah menyediakan pengajar terlatih di IBTE Kampus Sultan Bolkiah untuk mengajar dan memberi latihan kepada mereka yang sedang mengikuti program fabrikasi dan kimpalan.

Pada Julai nanti, program Pengimpalan NTec juga akan dilaksanakan di IBTE Kampus Sultan Bolkiah.

ARTIKEL YANG SAMA