Ibtihaj diberi penghormatan

Ibtihaj diberi penghormatan

BALTIMORE, 4 Feb – Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberi penghormatan kepada atlet lawan pedang, Ibtihaj Muhammad, yang akan beraksi di Sukan Olimpik Rio sebagai atlet wanita bertudung pertama mewakili Amerika Syarikat.

Kunjungan Obama ke masjid Islamic Society Baltimore semalam, adalah lawatan pertamanya ke masjid di Amerika Syarikat selepas tujuh tahun di White House, bagi membalas semula sentimen anti-Islam yang dilaungkan calon presiden parti Republican Donald Trump yang mahu melarang pendatang Muslim dan calon pilihan Ted Cruz yang mengaku hanya memperjuangkan Kristian.

Dalam senario itu, muncul Ibtihaj, yang berdarah Afrika-Amerika layak bertanding dalam acara sabre wanita pada temasya Olimpik di Rio de Janeiro, Ogos depan selepas menduduki tempat ketiga di Piala Dunia, Athens, minggu lalu.

“Tiada apa yang boleh menghalang sesiapa dalam memburu impian mereka-bukannya kaum, agama atau jantina,” kata Ibtihaj dalam laman web USA Fencing.

“Saya mahu menjadi contoh betapa tiada yang mustahil dengan ketabahan.” Ibtihaj adalah antara yang hadir menyaksikan ucapan Obama apabila presiden itu memintanya berdiri dan memberi penghormatan kepadanya.

pg32_160205_b

“Salah seorang rakyat Amerika akan beraksi dalam sukan lawan pedang dengan memakai hijab di Olimpik akan datang,” kata Obama.

“Dia berada di sini hari ini. Tolong berdiri. Saya beritahu dia untuk bawa pulang pingat emas. Saya bukan mahu meletakkan sebarang tekanan terhadap anda.

“Obama memuji peranan Muslim di Amerika sebagai doktor, guru, pakar sains dan menamakan tiga legenda sukan, peninju dan dua bekas bintang NBA.

“Mereka adalah wira sukan yang kita sorak seperti Muhammad Ali dan Kareem Abdul-Jabbar serta Hakeem Olajuwon,” katanya. – AFP