Ibu anak damit pula meninggal dunia

Ibu anak damit pula meninggal dunia

BAITULMAQDIS, 7 Sept (Reuters) – Ibu kepada anak damit Palestin yang terbunuh dalam serangan Julai lepas yang menyebabkan rumahnya terbakar di tebing Barat yang diduduki Israel meninggal dunia hari ini akibat kecederaan teruk yang dialaminya, kematian ketiga selepas suaminya menemui ajal akibat kecederaan dialami pada bulan lepas.

Sejurus selepas pengumuman oleh pihak berkuasa perubatan, warga Palestin berhimpun di rumah keluarga itu di kampung Duma, sambil menggesa bagi “hari menunjukkan kemarahan” di seluruh wilayah Palestin.

Kumpulan penyerang Yahudi membakar rumah keluarga itu di utara Tebing Barat pada 31 Julai, mengorbankan anak damit lelaki bernama Ali dan berusia 18 bulan. Bapanya Saad Dawabsheh meninggal dunia pada 9 Ogos dan disusuli ibunya Riham, 27, empat minggu kemudian.

“Dengan penuh kekesalan, beliau meninggal dunia selepas tengah malam,” kata seorang jurucakap hospital. Anak yang kemudian masih lagi berada di hospital.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyifatkan serangan itu sebagai tindakan pengganasan dan mengarahkan tindakan tegas diambil ke atas kumpulan pelampau Yahudi.

Langkah terbaru membolehkan penahanan tanpa perbicaraan ke atas mana-mana warga Yahudi yang disyaki melalukan keganasan politik ke atas warga Palestin dan dengan sesi soal-siasat yang keras – langkah yang sebelum ini hanya dikhaskan kepada suspek warga Palestin.

Beberapa pemimpin kumpulan pelampau Yahudi sudah pun diberkas, walaupun tiada seorang pun yang dikenakan tuduhan kerana pembabitan secara langsung dalam serangan berkenaan.

“Sudah lebih sebulan dan kerajaan Israel masih belum membawa mana-mana pengganas ke muka pengadilan,” kata Saeb Erekat, setiausaha agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dalam satu kenyataan.

Setakat ini belum ada sebarang reaksi segera mengenai berita kematian tersebut daripada kerajaan Israel.