Ibu bangga akan pencapaian anak

Ibu bangga akan pencapaian anak

ARAU, 12 Sept – Usaha gigih anak muda Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri di sini nyata tidak sia-sia apabila meraih pingat emas ketiga negara di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, pada Ahad.

Abdul Latif Romli, 19, bukan sahaja menjuarai acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) selepas menewaskan 11 peserta lain, malah turut mencipta rekod dunia 7.6 meter, mengatasi rekod lama 7.35m miliknya sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lepas.

Ibunya, Salmah Yatim, 58, berkata kejayaan anak bongsunya yang kurang upaya intelektual itu seperti bulan jatuh ke riba kerana pencapaian tersebut amat besar bagi seorang anak istimewa yang masih muda dan cetek pengalaman.

“Saya terharu dan seperti bermimpi dengan kejayaannya kerana dia antara anak yang ‘nakal’ tetapi dia juga yang telah membanggakan keluarga,” katanya penuh sebak sambil menangis gembira.

Kedua-dua ibu bapa Abdul Latif amat gembira akan pencapaian anak mereka di pentas Sukan Paralimpik Rio 2016. - Bernama
Kedua-dua ibu bapa Abdul Latif amat gembira akan pencapaian anak mereka di pentas Sukan Paralimpik Rio 2016. – Bernama

Keluarga Abdul Latif ditemui pemberita selepas menyaksikan kemenangan anaknya secara langsung menerusi Youtube di Pusat Khidmat Parlimen Arau di sini, malam tadi.

Terdahulu pada Sabtu (awal pagi Ahad waktu Malaysia), dua pingat emas negara disumbang Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) yang turut mencipta rekod dunia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA