Ibu bapa berperanan galak anak berjaya dalam pelajaran

Ibu bapa berperanan galak anak berjaya dalam pelajaran

SANDAKAN, 13 Jan (Bernama) – Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak mereka berjaya dalam pelajaran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Menurut beliau, tanggungjawab mendidik anak tidak seharusnya diletakkan kepada guru sahaja tetapi ibu bapa juga harus memainkan peranan mereka.

“Harus ada kerjasama antara ibu bapa dan guru dalam memastikan kejayaan seseorang pelajar.

“Ibu bapa harus terlibat dalam aktiviti di sekolah khususnya menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha menggalakkan kejayaan pelajar dan pencapaian sekolah berkaitan pelajaran,” katanya pada Majlis Penyerahan peralatan sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tinusa Jaya dekat sini, hari ini.

Sebanyak 270 murid Tahun 1 dan 2 menerima sumbangan beg dan wang menerusi program anjuran Biro Pelajaran UMNO Bahagian Libaran.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (tengah) bergambar bersama murid Sekolah Kebangsaan Tinusa Jaya selepas majlis penyerahan beg sekolah kepada 270 murid Tahun Satu dan Dua kelmarin. Sumbangan beg dan wang adalah inisiatif Biro Pelajaran UMNO Bahagian Libaran. – Bernama

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan sumbangan RM50,000 daripada Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Tan Sri Rozali Ismail yang turut hadir pada majlis itu untuk PIBG SK Tinusa Jaya dan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Tinusa Jaya.

Musa berkata kerajaan negeri dan persekutuan akan sentiasa memastikan pembangunan modal insan menerusi aspek pendidikan diutamakan di negeri ini.

Katanya, antara usaha berkenaan ialah menyediakan kemudahan sekolah yang lengkap supaya murid dapat mengikuti sesi pembelajaran dalam suasana selesa.

Menurutnya pembinaan sekolah baharu juga dilakukan berdasarkan keperluan di sesebuah tempat.