Ibu bapa landasan kejayaan anak-anak

Ibu bapa landasan kejayaan anak-anak

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 21 Jun – Sekolah Menengah Chung Hwa, di sini, telah mengadakan Hari Ibu Bapa, sebagai salah satu program yang diadakan setiap kali selesai musim peperiksaan di sekolah berkenaan.

Pengetua sekolah, Hong Geok Cheng memberitahu Media Permata, acara itu diadakan bagi memberikan peluang kepada ibu bapa dan guru-guru subjek berinteraksi dengan lebih selesa.

“Ibu bapa berpeluang bertanyakan kepada setiap guru subjek tentang pencapaian akademik anak-anak mereka, selain boleh mendapatkan nasihat daripada guru tentang apa yang patut dilakukan di rumah sebagai membantu meningkatkan kejayaan anak-anak mereka,” katanya.

Di samping itu, menurut beliau lagi, ia juga merupakan peluang bagi ibu bapa setiap pelajar bertanyakan tentang kelakuan anak-anak mereka semasa belajar di dalam kelas dan sebagainya.

“Masa para pelajar lebih banyak di rumah jika berbanding di sekolah, maka dengan itu peranan ibu bapa dalam membantu pihak sekolah juga penting, terutamanya memata-matai ulang kaji pembelajaran anak-anak mereka semasa di rumah, kerana perkara itu tidak dapat dilakukan oleh guru-guru sekolah,” tambahnya.

Dayang Hong Geok Cheng semasa ditemui Media Permata.
Dayang Hong Geok Cheng semasa ditemui Media Permata.

Beliau juga menyifatkan ibu bapa sebagai landasan kepada kejayaan anak-anak mereka dalam pembelajaran, selain sebagai guru pendidik dari segi disiplin dan sebagainya, contohnya dalam mengatur anak-anak yang hendak pergi ke sekolah dari segi kelengkapan mereka membawa buku, berpakaian yang kemas dan sebagainya.

Selain pertemuan di antara ibu bapa dan guru-guru, majlis turut dimeriahkan dengan beberapa acara lainnya termasuk pameran kemajuan pelajar kelas Tadika hingga Tahun 11.

Sempena sambutan perayaan tradisi masyarakat cina iaitu Pesta Ladu Pulut, para pelajar dan ibu bapa juga berpeluang cuba menegakkan telur di atas lantai tepat pukul 12:00 tengah hari kelmarin.

“Menegakkan telur di atas lantai juga merupakan pembelajaran dari segi saintifiknya, selain ia juga merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai kepercayaan tersendiri mengenai pesta itu.”

Menurut beliau, lazimnya ia di adakan beramai-ramai dengan pergi ke tepi pantai untuk upacara menaburkan ladu pulut ke laut, dan lebih digemari oleh kalangan orang-orang muda.

Hari Ibu Bapa membukakan peluang interaksi secara lebih terbuka antara ibu bapa dan guru-guru subjek.
Hari Ibu Bapa membukakan peluang interaksi secara lebih terbuka antara ibu bapa dan guru-guru subjek.

Menyentuh tentang program mendatang sekolah tersebut, beliau memberitahu, pada penghujung bulan ini, sekolah mereka dijangka akan mengadakan Jerayawara Kerjaya yang akan dikendalikan oleh Persatuan Taiwan di Brunei, dengan mengundang rombongan daripada Universiti Teknikal Taiwan yang akan mempamerkan kursus-kursus yang ditawarkan di negara itu.

Sehubungan itu, ibu bapa juga dialu-alukan untuk hadir mendengarkan sesi taklimat dan pameran yang akan diadakan bagi memberikan mereka kefahaman dan bertukar-tukar fikiran untuk mendapatkan yang terbaik dari segi kerjaya anak-anak mereka di masa akan datang.

Sekolah tersebut kini mempunyai penampilan lebih kondusif untuk memberikan lebih keselesaan kepada kalangan pelajar dan ibu bapa, terutama sekali bagi program-program seperti Hari Ibu Bapa dan sebagainya yang diadakan sepanjang tahun.

Sekolah itu juga telah mencipta sejarah kerana telah melahirkan pelajar yang mencapai 5A dalam peperiksaan Penilaian Sijil Rendah (PSR) tahun lalu, dan merupakan sekolah yang mempunyai pelajar teramai mendapat keputusan 5A bagi Daerah Belait.