Ibu bapa merungut yuran naik

Ibu bapa merungut yuran naik

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Sebilangan ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS), di ibu negara telah meluahkan rungutan mengenai peningkatan yuran sekolah bermula tahun akademik 2016, yang diumumkan dalam notis kepada ibu bapa dan penjaga, kelmarin.

Menurut notis berkenaan, yang berkuat kuasa 1 Januari 2016, yuran bagi murid-murid tadika dinaikkan kepada $230 sebulan daripada $172 (10 bulan) atau yuran tahunan $2,300 daripada $1,720 dan daripada $170 kepada $270 sebulan (atau tahunan $1,700 kepada $2700) bagi peringkat rendah manakala penuntut-penuntut menengah pula daripada $185 kepada $290 sebulan ($1,850 kepada $2,900 tahunan).

CHMS dalam notis itu memberitahu, penyelarasan yuran baru ini yang bertujuan bagi mengekalkan kualiti pendidikan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan pada 24 November 2013 dan satu sesi perkongsian bersama ibu bapa juga telah diadakan pada 17 Januari 2014, dan pada April 2015, sekolah berkenaan menerima surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan.

Salah seorang bapa pelajar yang menghubungi Media Permata, hari ini, meluahkan kekecewaannya atas kenaikan yuran ini yang dikatakannya terlalu mahal dan membebankan terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Menurut beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Awang Samat, meskipun pihak kerajaan ada memberi subsidi kepada kakitangan yang menghantar anak-anak ke sekolah berkenaan, tetapi ia tetap tidak memadai terutama bagi mereka yang mempunyai ramai anak.

“Bayangkan pendapatan saya cuma $800 dan mempunyai tiga orang anak yang bersekolah di Sekolah Chung Hwa. Dengan kenaikan ini, saya perlu menambah lebih kurang $150 untuk seorang anak dan kalau tiga orang, sudah $450,” katanya dengan nada kesal.

Menurut Awang Samat, beliau menghantar anak-anak ke Sekolah Menengah Chung Hwa bukan kerana tidak yakin dengan sekolah kerajaan, tetapi bertujuan memberikan peluang yang terbaik bagi pendidikan dan masa depan anak-anak.

Seorang ibu yang mengenalkan dirinya sebagai Yong berkata, “Saya mempunyai dua anak di peringkat rendah. Bagaimana saya boleh membayar $540 sebulan bagi yuran sekolah mereka kerana suami saya hanya memperoleh pendapatan $1,300 sebulan dan kami masih perlu membayar sewa rumah dan bil-bil lain.”

Seorang lagi bapa bernama Lin turut menyuarakan sungutannya mengenai kenaikan itu yang dikatakannya tidak kena pada masanya kerana semua sekolah lain telah menutup proses pendaftaran.

Katanya, pada masa ini beliau tidak dapat memindahkan anak-anaknya ke sekolah lain.

CHMS dalam notisnya itu berkata pihak sekolah sentiasa berusaha untuk mencapai keseimbangan dalam wawasannya untuk mengekalkan pendidikan berkualiti, kestabilan tenaga guru dan merancang perbelanjaannya. Di samping itu, pihak Lembaga Pengarah telah menggunakan pendekatan yang begitu teliti dalam mengendali kewangan sekolah demi memenuhi standard tertingginya.

Bagaimanapun, pihak sekolah berasa begitu kesal kerana pendapatan hasil daripada yuran dan sumbangan sekolah kini tidak mencukupi untuk membayar kesemua perbelanjaan operasi termasuk gaji, utiliti dan penyelenggaraan infrastruktur, perkakasan dan perisian yang berkaitan dengannya.

Oleh yang demikian, CHMS berharap dengan penyelarasan baru ini akan dapat membantu menubuhkan dan mengekalkan asas yang lebih kukuh demi perkembangan menyeluruh kesemua pelajar CHMS dalam persekitaran pendidikan yang sentiasa berubah ini.

Pihak sekolah juga memaklumkan bahawa program-program pembaharuan pendidikan, yang telah pun bermula, memerlukan sumber kewangan yang besar.

Antara perubahan yang amat ketara adalah pelaksanaan program Pengajaran Struktur Bahasa Cina yang dipertingkatkan di kelas-kelas rendah, dan pengambilan tenaga pendidik baru bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, baru-baru ini.

CHMS, dalam notis itu, juga berjanji akan melindungi kepentingan semua pelajar cemerlang dan mempunyai cita-cita tinggi yang menghadapi masalah kewangan, yang mana, pihak Lembaga Pengarah akan terus memperuntukkan lebih banyak dermasiswa untuk meringankan bebanan kewangan pelajar berkenaan dan membantu mereka sehingga tamat pendidikan mereka di sekolah berkenaan.