Ibu bapa perlu bantu guru pelajar istimewa

Ibu bapa perlu bantu guru pelajar istimewa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Dalam mendidik pelajar terutama pelajar-pelajar istimewa, ia memerlukan guru yang mempunyai sifat sabar, tekun dan penuh dedikasi untuk membimbing pelajar-pelajar istimewa berkenaan supaya mereka mampu mengecap pendidikan yang terbaik.

Dalam hubungan itu, ibu bapa kepada pelajar-pelajar istimewa berkenaan harus memainkan peranan aktif dalam sama-sama membantu para guru bukan sahaja untuk mendidik anak mereka tetapi juga memastikan mereka dalam memperoleh kemahiran hidup supaya mampu menikmati kualiti kehidupan yang baik.

Bagi menghargai segala pengorbanan dan komitmen yang diberikan itu, Kumpulan Sokongan Keluarga (KSK) Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam buat kali keempat telah mengadakan Sambutan Hari Guru bagi guru-guru Pusat Ehsan yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu khas ialah Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman dan Pemangku Ketua Pentadbiran Pusat Ehsan, Dayang Nurul Huda binti Haji Muhin.

Pengerusi KSK, Dayang Mashainun binti Haji Ibrahim dalam temu bual ringkas bersama Media Permata di majlis itu, berkata bahawa majlis dihasratkan sebagai tanda penghargaan atas komitmen, kesabaran, dedikasi dan peranan penting yang dimainkan oleh guru-guru pusat itu yang mendidik anak-anak mereka.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan tarian tradisional daripada para pelajar pusat berkenaan.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan tarian tradisional daripada para pelajar pusat berkenaan.
Guru-guru Pusat Ehsan yang diraikan bersama-sama memotong kek Sambutan Hari Guru.
Guru-guru Pusat Ehsan yang diraikan bersama-sama memotong kek Sambutan Hari Guru.

Menurutnya lagi, mereka memahami bahawa guru-guru di pusat itu, melalui pelbagai cabaran dalam memberikan didikan kepada pelajar-pelajar istimewa berkenaan. Pada masa yang sama, ahli-ahli KSK sentiasa memberikan sokongan dan turut serta dalam pelbagai kegiatan kebajikan atau amal yang dilaksanakan oleh pusat berkenaan.

Beliau menambah bahawa KSK yang terdiri daripada ibu bapa dan penjaga anak-anak yang belajar di pusat berkenaan berperanan untuk menyokong, bekerjasama dan membantu dalam memeduli perkembangan serta juga kemaslahatan anak-anak pusat berkenaan.

Selain daripada kegiatan sosial seperti sambutan Hari Guru, KSK juga tidak ketinggalan menyertai kegiatan jualan amal atau jualan bazar di mana sebahagian daripada hasil jualan disumbangkan kepada Pusat Ehsan.

Pada majlis berkenaan, lebih 30 orang guru Pusat Ehsan diraikan dan dihiburkan dengan persembahan oleh pelajar-pelajar istimewa Pusat Ehsan.

ARTIKEL YANG SAMA