Ibu bapa perlu bijak melayan anak-anak

Ibu bapa perlu bijak melayan anak-anak

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 19 Jun – Ibu bapa disarankan untuk sentiasa memberikan perhatian yang penuh terhadap anak-anak mereka, selain bijak membahagikan masa antara kerjaya mereka dan masa untuk bersama anak-anak.

Perkara ini antara yang telah ditekankan oleh Ketua Unit Pendidikan Khas, Awang Ali Yusri bin Abdul Ghafor pada Majlis Program Keibubapaan yang diadakan di Dewan Serba Guna Sekolah Rendah Muhammad Alam di sini, anjuran guru bimbingan dan kaunseling sekolah berkenaan.

Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah tersebut Dayang Nurkhairunnisa Arbica binti Abdullah Merdan memberitahu, program tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa tentang pentingnya memberikan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak dan pendidikan mereka.

Dayang Nurkhairunnisa Arbica menyampaikan cenderahati kepada Awang Ali Yusri.
Dayang Nurkhairunnisa Arbica menyampaikan cenderahati kepada Awang Ali Yusri.

Menurut beliau, anak-anak mereka merupakan generasi aset negara dan ibu bapa berperanan dan bertanggungjawab dalam memastikan kemajuan pendidikan serta kesejahteraan anak-anak mereka.

Antara tajuk taklimat motivasi yang disampaikan oleh Awang Ali Yusri pada majlis tersebut termasuklah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, pembahagian masa untuk anak-anak dan perhatian sepenuhnya terhadap anak-anak dan pendidikan.

Program tersebut merupakan aktiviti sekolah melibatkan penyertaan murid-murid Tahun 4 hingga 6 dan ibu bapa mereka.