Ibu bertarung selamatkan anak dari singa gunung

Ibu bertarung selamatkan anak dari singa gunung

DENVER, 19 Jun (AP) – Seorang wanita menyelamatkan anak lelakinya yang berusia lima tahun dengan menarik kepala mangsa daripada mulut singa gunung yang menyerang kanak-kanak itu di depan rumah mereka, kata pihak berkuasa semalam.

Wanita berkenaan mendengar jeritan anaknya pada petang Jumaat ketika kanak-kanak itu bermain dengan abangnya di luar rumah mereka berhampiran Aspen, kata Timbalan Sherif Mukim Pitkin, Michael Buglione.

“Beliau berlari ke luar, melihat anak lelakinya bergelut dengan singa itu dan bergegas membantunya,” kata Buglione.

Buglione berkata, wanita itu menggenggam tapak kaki haiwan itu, mengangkatnya dan meletakkan tangan kanannya pada mulut singa berkenaan untuk menarik kepala anaknya untuk membebaskan budak itu.

Haiwan liar itu melarikan diri. Kanak-kanak berkenaan mengalami luka dalam pada muka, kepala dan leher dan dibawa ke hospital Denver.

Sementara ibunya mempunyai kesan gigitan pada tangan dan cakar di kaki. Nama kedua-dua mangsa tidak disiarkan.

Singa gunung itu dianggarkan berusia dua tahun. Pegawai hidupan liar membunuh dua singa gunung di kawasan itu beberapa jam selepas serangan.

Haiwan tersebut dipercayai sama ada mereka lapar, berpenyakit atau berada di tempat yang salah pada masa yang salah.

Colorado merupakan tempat tinggal sehingga 4,500 singa gunung, dan kadang-kadang mereka bersiar-siar ke kawasan bandar untuk mencari makanan, menurut pegawai-pegawai hidupan liar negeri. Sejak tahun 1990, singa gunung telah membunuh tiga orang dan mencederakan 18 di negeri ini.

ARTIKEL YANG SAMA