Ibu dan anak terima hidayah

Ibu dan anak terima hidayah

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 27 April – Seorang ibu warga Filipina bersama dua orang anaknya yang berbangsa Cina telah melafazkan dua kalimah syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Dakwah Daerah Belait, hari ini.

Rochelle Flores Castor, 30, telah memilih nama Islamnya sebagai Nur Syaidah binti Abdullah Castor, manakala itu, dua anaknya, Danny Luong Lee Feng Castor, 6, kini dikenali sebagai Muhammad Danial Wali bin Abdullah Castor dan Adriena Luong Li Meng, 5, sebagai Nur Ariana binti Muhammad Affendy.

Dengan pengislaman dua orang kanak-kanak berkenaan, telah menambah jumlah saudara baru dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang 14 tahun di Daerah Belait kepada seramai sembilan orang, menurut ca-tatan Bahagian Dakwah Daerah Belait.

Turut hadir pada majlis pengislaman berkenaan ialah Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu yang juga telah turut menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baru yang diraikan.

Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait menyampaikan cenderahati kepada saudara baru Dayang Nur Syaidah binti Abdullah Castor.
Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait menyampaikan cenderahati kepada saudara baru Dayang Nur Syaidah binti Abdullah Castor.

Haji Roslan dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut menyeru supaya saudara-saudara baru akan terus mendalami lagi pengetahuan agama Islam, dengan menghadiri kursus-kursus yang telah disediakan oleh jabatan tersebut.

Menurutnya, Pusat Dakwah Islamiah juga sentiasa memberikan kelebihan kepada kalangan saudara-saudara baru, bukan saja diberikan bimbingan tetapi juga diberikan sokongan untuk kemudahan pergi menunaikan ibadah Haji dan sebagainya.

Salah satu daripada kelebihan diberikan ialah menyediakan kelas bimbingan mualaf yang telah dilaksanakan sejak dulu lagi, dan bagi Daerah Belait ia diadakan di Masjid Al-Mashor Sungai Mau dan Masjid Sungai Liang.

“Kelas Bimbingan Mualaf juga akan dibukakan lagi di Balai Ibadat Kampung Merangking, Masjid Labi dan beberapa tempat atas permintaan penduduk setempat,” ujarnya.

Penolong Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan memberitahu, setakat ini seramai 26 orang telah memeluk agama Islam sejak Januari hingga April, yang mana 17 daripadanya adalah dalam kalangan orang dewasa, dan selebihnya kanak-kanak.

ARTIKEL YANG SAMA