Ibu maut terkena bedilan mortar

Ibu maut terkena bedilan mortar

pg15_160105_d

DIYARBAKIR, 4 Jan (AFP) – Seorang ibu kepada tiga anak terbunuh semalam apabila bedilan peluru mortar terkena pangsapuri beliau di sebuah bandar di tenggara Turki yang kini di bawah perintah berkurung selama sebulan. Agensi berita Dogan berkata, Melek Alpaydin, 38, sedang bersarapan pagi ketika peluru mortar itu terkena kediamannya di daerah Sur dekat Diyarbakir.

Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian berkata, peluru mortar menyebabkan lubang besar di dinding bahagian luar pangsapuri di tingkat dua itu.

Kebanyakan bandar di daerah Sur berada di bawah perintah berkurung sejak awal Disember ketika pasukan keselamatan Turki berusaha untuk mengusir militan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Perintah berkurung itu adalah salah satu daripada beberapa langkah kontroversi yang dikenakan ke atas bandar-bandar di tenggara Turki di mana angkatan tentera melancarkan kempen berterusan terhadap pemberontak.