Ibu mengandung curi berlian dihukum penjara

Ibu mengandung curi berlian dihukum penjara

HONG KONG, 23 Sept (dpa) – Seorang wanita mengandung dari tanah besar China telah dijatuhkan hukuman penjara 32 bulan hari ini kerana mencuri sebutir berlian bernilai 550,000 Hong Kong dolar (AS$71,000) semasa festival barangan kemas antarabangsa.

Hu Jinyu, 39, tertangkap kerana rakan subahatnya, Liu Xiaofeng, kembali ke tempat kejadian jenayah untuk mengambil iPhonenya yang tertinggal, menurut mahkamah Hong Kong. Liu dijatuhkan hukuman penjara 29 bulan.

Peguam Hu mengatakan dia seorang ibu kepada tiga orang anak yang miskin dan buta huruf, yang terlibat dengan masalah kewangan apabila dia didenda kerana melanggar dasar seorang anak di China.

Menurutnya, ayahnya berusia 62 tahun menderita kanser paru-paru yang menambah lagi beban kewangannya.

Hu menukar berlian 3.3 karat dengan yang palsu sementara saudaranya, Liu, 29, mengalihkan perhatian di pondok semasa pameran Barangan Kemas Antarabangsa Hong Kong pada 2 Mac.

Selepas menukarnya, Hu menyerahkan berlian itu kepada rakan subahat lain dan sehingga kini berlian itu masih lagi belum ditemui.

ARTIKEL YANG SAMA