Ibu remaja terjun apartmen, dipenjara

Ibu remaja terjun apartmen, dipenjara

HONG KONG, 9 Okt (AFP) – Seorang ibu Filipina kepada remaja yang maut akibat terjun dari sebuah apartmen di Hong Kong telah dipenjarakan hari ini atas pelanggaran visa yang terbongkar ekoran tragedi berkenaan.

Herminia Garcia, 53, telah dipenjarakan selama setahun kerana tinggal lebih masa di bandar itu, meskipun berusaha meminta diringankan hukuman ekoran kehilangan anak perempuan itu. Pasangannya, seorang ahli perniagaan Britain, Nick Cousins, 58, telah dikenakan hukuman lapan bulan kerana membantunya melanggar undang-undang imigresen dan gagal untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka itu.

Dalam kejadian penuh emosi di Mahkamah Majistret Eastern, Garcia telah dipeluk oleh seorang lagi anak perempuannya ketika dia dibawa pergi. Cousins dan Garcia, kedua-duanya pada awalnya telah dituduh atas kecuaian selepas anak perempuan mereka berusia 15 tahun jatuh dari blok apartmen 21 tingkat di Repulse Bay pada April.

Namun dakwaan kecuaian ke atas Garcia akhirnya digugurkan dan Cousins tidak didakwa selepas satu siasatan dilakukan. Sebaliknya, mereka telah didakwa atas pencabulan visa. Pendedahan di mahkamah hari ini telah mendapati Garcia sudah berkahwin dengan seorang lelaki di Filipina yang tidak mahu menceraikannya.

Gambar menunjukkan Cousins (kiri), 58 dan Garcia berlalu pergi selepas perbicaraan di Mahkamah Majistret Timur di Hongkong.
Gambar menunjukkan Cousins (kiri), 58 dan Garcia berlalu pergi selepas perbicaraan di Mahkamah Majistret Timur di Hongkong.

Garcia telah dilaporkan bekerja sebagai pembantu rumah di Hong Kong sejak 1990, bagaimanapun haknya untuk tinggal di Hong Kong sudah berakhir pada 1994, menurut mahkamah. Garcia mengaku bersalah atas ‘pencabulan syarat menetap’ dan Cousins mengaku bersalah kerana membantunya dan bersubahat.

Dia juga mengaku bersalah atas dua tuduhan kerana gagal untuk mendaftarkan kelahiran dua orang anak perempuannya. Majistret So Wai-tak mengatakan mereka ‘pentingkan diri sendiri’ kerana melanggar peraturan itu.

Cousins dikatakan telah meletak jawatan pada Ogos sebagai pengarah urusan dari pejabat multinasional Britain, Jardine LLoyd Thompson (JLT) Hong Kong, salah sebuah pembrokeran insurans terutama di dunia. Sementara itu, menurut polis kematian anak perempuan pasangan tersebut mungkin berpunca daripada ‘kecewa tentang isu kehidupan seharian’.

ARTIKEL YANG SAMA