Ibu selamatkan anak sebelum temui ajal

Ibu selamatkan anak sebelum temui ajal

BEIJING, 27 Julai (AFP) – Seorang wanita terbunuh selepas beliau terjunam dari lantai eskalator di sebuah gedung membeli-belah China, sambil menghumban anaknya ke tempat selamat ketika beliau terjatuh, menurut laporan hari ini.

Xiang Liujuan, 30, sedang memegang anak lelakinya di depannya ketika mereka menaiki tangga pada Sabtu, kata akhbar Wuhan Evening News.

Gambar kejadian yang dirakam oleh kamera keselamatan dan disiarkan di Internet menunjukkan salah satu panel lantai roboh ketika Xiang melangkah turun dari eskalator. Ketika beliau terjatuh, beliau menolak anak lelakinya ke depan, dan seorang pembantu kedai berhampiran mengheretnya ke tempat yang selamat.

Namun eskalator terus meluncur, dan beberapa saat kemudian, Xiang dilihat hilang ke bawah dalam mesin, meskipun salah seorang kakitangan sempat menyambar tangannya seketika. Ia mengambil bomba lebih empat jam untuk memotong mesin dan menemui wanita itu, yang tidak menunjukkan “tanda-tanda pernafasan,” kata laporan akhbar.

Gambar menunjukkan pekerja berdiri di atas eskalator ketika ibu dan anak menghampirinya.

Kerja-kerja penyelenggaraan baru dijalankan di eskalator di gedung membeli-belah Anliang di Jingzhou di bahagian tengah wilayah Hubei, dan pekerja terlupa memasang skru pada penutup, akhbar memetik satu sumber tidak bernama sebagai berkata.

Kejadian itu menjadi salah satu topik paling hangat di Sina Weibo pada hari ini dengan lebih 6.6 juta tontonan. Kebanyakan komen meluahkan kemarahan pada pengurusan kedai.

“Kenapa kakitangan tidak menghalang pelanggan di pintu masuk ke mesin atau menutupnya?” tulis seorang individu. “Gedung membeli-belah sudah pastinya bertanggungjawab.”

Yang lainnya berasa terharu dengan tindakan terakhir wanita itu.

ARTIKEL YANG SAMA