Ibu terngiang-ngiang suara rintihan anak

Ibu terngiang-ngiang suara rintihan anak

KUALA SELANGOR, 7 April (Bernama) – Seorang ibu tidak dapat melupakan bagaimana dua orang anaknya merintih kesakitan akibat kebakaran yang berlaku di rumah mereka di Jalan Batu 4, Kampung Batu 4, Ijok awal pagi tadi.

“Ibu, aduh sakit, tolong, tolong”. Iniah rintihan terakhir si anak yang sukar dilupakan si sibu Zuriyana Marsunit, 38, yang akhirnya kedua-dua anaknya itu menemui ajal tanpa dapat ditolongnya.

Hatinya menjadi luluh apabila usahanya untuk memasuki bilik kedua-dua anaknya yang sedang tidur bagi menyelamatkan mereka gagal kerana api terlalu marak.

Ibu tunggal ini turut melecur pada muka dan tangan akibat kebakaran kira-kira 4.20 pagi itu yang pihak polis berkata siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada kejadian litar pintas.

“Saya cuba masuk melalui pintu bilik anak-anak saya, tetapi api sangat marak. Saya pergi pula ke tingkap bilik mereka, saya menjerit sambil mengetuk tingkap berkali-kali dan memanggil mereka keluar.

Rakan sekolah mangsa kebakaran Allahyarham Muhammad Darnish Irfan Muhd Azmi,15, dan adiknya Allahyarham Muhammad Darnish Israk,14, melawat rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Batu 4, Ijok awal pagi kelmarin. – Bernama
Rakan sekolah mangsa kebakaran Allahyarham Muhammad Darnish Irfan Muhd Azmi,15, dan adiknya Allahyarham Muhammad Darnish Israk,14, melawat rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Batu 4, Ijok awal pagi kelmarin. – Bernama

“Tetapi saya hanya mendengar rintihan kesakitan mereka. Sebak hati saya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya tersangat sedih saya tidak dapat menolong mereka,” kata Zuriyana dengan linangan air mata ketika ditemui Bernama.

Dalam kebakaran itu, dua beradik berkenaan iaitu Muhammad Danish Irfan Mohamad Azmi, 15, dan Muhammad Darwisy Israk Mohamad Azmi, 14, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Musa Bestari Jaya ditemui rentung.

Bercerita lanjut, beliau berkata kali terakhir beliau bertemu kedua-dua anaknya ialah awal pagi semalam ketika mengejutkan mereka untuk ke sekolah sebelum beliau keluar bekerja di Pelabuhan Klang.

“Adik (Muhammad Darwisy Israk) ada minta duit lebih sebab katanya nak buat kerja di sekolah. Itulah permintaan terakhirnya daripada saya,” katanya.

Sementara itu nenek adik-beradik berkenaan Sainah Saidi, 71, berkata Zuriyana berusaha beberapa kali untuk menyelamat anak-anaknya tetapi terhalang oleh api yang marak.

“Saya sendiri tersedar daripada tidur sebab dengar Ana (Zuriyana) jerit panggil saya suruh keluar dari bilik. Bila saya buka pintu bilik, saya nampak api merah menyala dan sangat besar.

“Nasib baik dalam keadaan panik itu saya teringat nak buka kunci pintu bilik saya untuk selamat diri,” ujarnya.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Badong kira-kira 11 pagi tadi.

ARTIKEL YANG SAMA