Ibu tidak ser...

Ibu tidak serik

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Seorang ibu yang tidak pernah serik melakukan kesalahan mencuri dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Noraziah binti Rosli, 35, mengaku bersalah kerana mencuri 107 isian semula pengharum udara Glade yang bernilai $288.90 dari Hua Ho Manggis, pada 11 Februari 2017 sekitar jam 1 hingga 1:30 petang.

Dia mengakui kesalahannya itu kerana ingin mendapatkan wang dengan menjual semula barang yang dicurinya.

“Kamu sepatutnya menggunakan cara yang betul jika kamu ingin menjual barang dan bukannya dengan cara mencuri,” tegas Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin.

“Tidakkah kamu mempunyai rasa kasihan kepada anak-anak kamu,” tanya Majistret Kanan lagi yang turut menasihatkan tertuduh untuk berfikir sebelum melakukan kesalahan.

Fakta kes menyebut, tertuduh ditahan oleh pengawal keselamatan yang menerima maklumat daripada pekerja Hua Ho yang curiga akan perbuatan tertuduh sebelum tertuduh sempat meninggalkan bangunan itu.

Pemeriksaan mendapati beg yang dibawa tertuduh mengandungi pelbagai isian semula pengharum udara Glade.

Tertuduh sebelum ini memiliki tiga rekod jenayah membabitkan kesalahan mencuri.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Hajah Nor’Azmeena binti Pengiran Mohiddin di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun dan juga denda.