Icardi bantu Inter benam Fiorentina

Icardi bantu Inter benam Fiorentina

MILAN, 29 Nov – Kapten Inter Milan, Mauro Icardi meledak dua gol ketika membantu pasukannya mencatat kemenangan 4-2 ke atas Fiorentina yang beraksi dengan 10 pemain dalam saingan Serie A di San Siro, awal pagi tadi.

Ia adalah kemenangan pertama Inter di bawah kendalian jurulatih baru, Stefano Pioli yang sebelum ini membantu pasukannya seri 2-2 menentang kelab tetangga, AC Milan minggu lalu.

Di sebalik beberapa kali tampil agak goyah, bekas pemain Lazio itu memperoleh beberapa lagi pujian dengan pasukannya kini merapatkan jurang kepada pendahulu, Juventus kepada 12 mata.

Inter yang dikejutkan 4-1 oleh Fiorentina pada musim lalu mendahului 3-0 selepas beberapa siri kesilapan dilakukan pelawat yang membenarkan Marcelo Brozovic, Antonio Candreva dan Icardi untuk menewaskan Ciprian Tatarusanu sebelum perlawanan memasuki minit ke-20.

Sekali pun pelawat berjaya merapatkan jurang sebelum babak pertama tamat menerusi jaringan Nikola Kalinic, harapan mereka untuk bangkit tampak pudar selepas kaptennya, Gonzalo Rodriguez dilayangkan kad merah kerana mengasari Icardi pada masa kecederaan babak pertama.

Mauro Icardi meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika menundukkan Fiorentina 4-2. - AFP
Mauro Icardi meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika menundukkan Fiorentina 4-2. – AFP

Josip Ilicic sedikit mencemaskan apabila meledak gol kedua Fiorentina pada minit ke-62 sebelum Icardi menambah kelebihan Inter pada masa kecederaan.

“Kami tampak seperti sudah kehabisan tenaga pada babak kedua…dan itu sesuatu yang perlu kami uruskan dengan lebih baik,” kata Icardi.

“Saya tidak tahu jika kami takut untuk menang, namun kamu perlu menamatkan perlawanan lebih baik jika kami berjaya mendahului,” katanya.

Dalam perlawanan lebih awal, pemain gantian, Gregoire Defrel menjadi penyemat Sassuolo selepas menjaringkan gol penyamaan 1-1 ketika menentang Napoli di San Paolo.

Napoli yang mendominasi perlawanan tampak di ambang kemenangan selepas Lorenzo Insigne meletakkan pelawat pada minit ke-42 namun gol Defrel, lapan minit sebelum permainan berakhir menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Napoli ketika ini menghuni tangga ketujuh liga, lapan mata di belakang Juventus. – AFP