ICC gesa tangkap Presiden Sudan

ICC gesa tangkap Presiden Sudan

JOHANNESBURG, 14 Jun (AFP) – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menggesa Afrika Selatan supaya menangkap Presiden Sudan Omar al-Bashir, yang dilaporkan sudah pun tiba di Johannesburg untuk menghadiri Kemuncak Kesatuan Afrika (AU) yang bermula hari ini.

Bashir dikehendaki oleh ICC, yang Afrika Selatan adalah salah satu anggotanya, berhubung jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan ketika konflik Darfur pada 2003.

Presiden mahkamah itu, Sidiki Kaba berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau “menggesa Afrika Selatan”, yang sentiasa menyumbang bagi pengukuhan ICC, supaya tidak mengetepikan usaha untuk memastikan pelaksanaan waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah berkenaan.”

Beliau amat bimbang “mengenai kesan negatif ke atas ICC jika tidak berlakunya pelaksanaan waran tangkai tersebut,” tambah kenyataan itu.

Pegawai-pegawai di Johannesburg enggan mengesahkan mengenai ketibaan Bashir untuk menghadiri kemuncak dua hari tersebut, tetapi Perbadanan Penyiaran Afrika selatan (SABC) berkata dalam akaun Twitternya bahawa Bashir “dialu-alukan ketibaannya oleh para pegawai Afrika Selatan dan para diplomat Sudan.”

Presiden Sudan Omar al-Bashir ketika menghadiri Kemuncak Kesatuan Afrika di Johannesburg, Afrika Selatan pada 14 Jun 2015. – AFP
Presiden Sudan Omar al-Bashir ketika menghadiri Kemuncak Kesatuan Afrika di Johannesburg, Afrika Selatan pada 14 Jun 2015. – AFP

Agensi berita Sudan juga turut mengesahkan mengenai lawatan berkenaan.

Sejak pendakwaannya pada 2009 Bashir kebanyakannya membuat kunjungan ke Negara-negara yang tidak menjadi anggota ICC.

Darfur terjebak ke kancah konflik pada 2003 apabila para pemberontak melancarkan kempen menentang kerajaan Bashir, mengadu wilayah mereka tidak diberikan layanan samara rata darisegi politik dan ekonomi.

Lebih 300,000 orang terbunuh dalam konflik dan pertempuran yang memaksa kira-kira 2.5 juta orang melarikan diri dari kediaman masing-masing, kata PBB.

Bagaimanapun Khartoum mempertikaikan jumlah itu, dengan menganggarkan jumlah kematian adalah tidak lebih dari 10,000 orang.