ICC umum lawat Israel, wilayah Palestin

ICC umum lawat Israel, wilayah Palestin

THE HAGUE, 5 Okt – Satu delegasi dari mahkamah jenayah perang tetap satu-satunya di dunia telah mengunjungi Israel dan wilayah Palestin minggu ini untuk ‘mempromosi pemahaman lebih baik’ tentang kerjanya, kata ketua pendakwa hari ini.

Lawatan yang bermula hari ini sehingga 10 Oktober itu akan menjadi yang pertama ke rantau itu oleh para pegawai dari pejabat pendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sejak perang Gaza 2014.

Pasukan itu akan membuat perjalanan ke Tel Aviv, Baitulmuqaddis dan Ramallah, kata ketua pendakwa Fatou Bensouda dalam satu kenyataan bagi ‘mesyuarat bersama para pegawai Israel dan Palestin pada peringkat kerja’.

Namun dia tidak menyatakan sama ada delegasi itu akan berkunjung ke Semenanjung Gaza dan menekankan lawatan itu bukan bertujuan untuk menyiasat sebarang pertuduhan.

Atas permintaan warga Palestin, pejabat Bensouda telah membuka siasatan awal ke atas tuduhan jenayah perang di kedua-dua belah pihak semasa konflik Julai-Ogos 2014.

Katanya lagi, lawatan itu ‘tidak berkaitan’ dengan siasatan awalnya yang dikatakannya ‘adalah berterusan dan mengikuti haluan biasanya’.

“Tujuan lawatan ini akan menjadi pendekatan kerja dan aktiviti pendidikan dengan satu tinjauan untuk meningkatkan kesedaran tentang ICC dan terutamanya, tentang kerja di pejabat,” kata Bensouda.

Delegasi dari pejabatnya ‘tidak akan terlibat dalam pengumpulan bukti yang berkaitan dengan sebarang tuduhan jenayah,” tambahnya.

“Para delegasi juga tidak akan mengadakan lawatan ke tapak, atau menilai kecukupan sistem perundangan masing-masing untuk menangani jenayah yang terangkum dalam bidang kuasa ICC.” – AFP