ICD jamin maklumat pesakit

ICD jamin maklumat pesakit

Oleh Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Penggunaan Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD) bersama-sama dengan Sistem Pengurusan Maklumat Kesihatan Brunei Darussalam (Bru-HIMS) yang diperkenalkan pada 2012, amat penting dalam usaha untuk mendapatkan maklumat mengenai pesakit atau penduduk dengan lengkap, tepat pada waktunya dan berguna.

Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional dan Teknikal), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rahmah binti Haji Mohd Said berkata, Bru-HIMS bermatlamat untuk menghasilkan satu rekod, satu pesakit di mana data penjagaan kesihatan seseorang pesakit itu boleh diakses dari mana-mana kemudahan yang dihubungkan di bawah rangkaian Kementerian Kesihatan.

Ia menjadi aset berguna untuk mendapatkan maklumat yang tepat, lengkap dan eksklusif bukan sahaja untuk penduduk umum tetapi juga seseorang individu, katanya ketika berucap di Perasmian Bengkel Latihan ICD-10 bagi Pengkodingan Data Morbiditi yang berlangsung di Pusat Latihan dan Perkembangan Kejururawatan, Kampung Kiarong, hari ini.

ICD merupakan alat diagnostik standard yang dirangka oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi tujuan klinikal, pengurusan kesihatan dan epidemiologi termasuk analisis situasi kesihatan kumpulan penduduk.

Ia memberikan nilai signifikan bagi memantau kejadian atau kekerapan penyakit serta masalah-masalah kesihatan yang lain di sesebuah kawasan atau negara.

Dr Hajah Rahmah bersama para tetamu yang lain hadir di Majlis Perasmian Bengkel Kod ICD.
Dr Hajah Rahmah bersama para tetamu yang lain hadir di Majlis Perasmian Bengkel Kod ICD.

ICD memberikan maklumat mengenai situasi kesihatan sesebuah negara dan penduduk negara itu dan juga merupakan alat pengumpulan data kesihatan yang berguna bagi para pengamal kesihatan mendapatkan maklumat yang tepat dan berguna untuk pemantauan kejadian penyakit.

Dr Hajah Rahmah berharap pengguna ICD akan memahami sepenuhnya rangka kerja dan struktur kod sistem ICD yang dilaksanakan supaya dapat menjamin kualiti maklumat yang diperoleh itu adalah tepat untuk digunakan dalam analisis yang dijalankan.

Bengkel ICD-10 itu diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga 10 Ogos di mana ia dikendalikan oleh seorang konsultan dari Queensland University of Technology dan Penyelaras Kursus National Centre for Health Information Research and Training, School of Public Health and Social Work, Susan Mary Walker.

Bengkal latihan itu disertai oleh seramai 100 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai perubatan, jururawat-jururawat, pegawai-pegawai pakar kesihatan bersekutu serta pegawai dan kakitangan rekod perubatan kesihatan.

Bengkel empat hari itu bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kecekapan pegawai dana kakitangan mengenai ICD-10 dalam tugas pengkodingan di samping meningkatkan kualiti data morbiditi selaras dengan piawaian antarabangsa.

Melalui penyertaan dalam bengkel itu, para peserta diharap dapat memahami akan tatacara penggunaan ICD-10 dalam memenuhi keperluan pengkodingan rekod elektronik dalam sistem Bru-HIMS sekali gus dapat menghasilkan data kesihatan kebangsaan yang berkualiti tinggi bagi keperluan Kementerian Kesihatan dalam membuat intervensi, perancangan perkembangan perkhidmatan dan pembentukan dasar-dasar yang berasaskan bukti serta dapat digunakan bagi penyediaan laporan kebangsaan dan keperluan agensi-agensi di dalam dan luar negeri seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

ARTIKEL YANG SAMA