ICE2015 buka tirai

ICE2015 buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Persidangan Pendidikan Antarabangsa ke-18 (ICE 2015) anjuran Institut Pendidikan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam, membuka tirainya hari ini dengan membawa tema ‘Pendidikan di Abad ke-21: Amalan Kini, Hala Tuju Masa Depan, Dan Seterusnya?’

Perasmian persidangan tiga hari yang berlangsung di Dewan Kuliah, Bangunan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’datul Bolkiah (PAPRSB), pagi tadi, disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Pengerusi Majlis ICE 2015, Dr Jainatul Halida binti Haji Jaidin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa, SHBIE telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam projek Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21 (21CLT) yang mana projek tiga tahun ini dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Brunei (BRC).

Projek ini bertujuan untuk meningkatkan hasil pembelajaran pelajar dengan meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 para guru.

Melalui projek ini, jelasnya, tiga kumpulan guru dari 50 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Brunei telah menjalani siri kerjasama tindakan-penyelidikan, merancang, mereka bentuk, menilai dan memikirkan tentang bukti pembelajaran pelajar, dan jika perlu, mereka semula pembelajaran untuk memahami lebih mendalam mengenai bagaimana dan apa yang perlu dilakukan untuk membangunkan pelajaran abad ke-21 dalam konteks kurikulum kebangsaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar (2 kiri) dan Dr Jainatul Halida (3 kiri) bersama para hadirin yang lain di majlis itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar (2 kiri) dan Dr Jainatul Halida (3 kiri) bersama para hadirin yang lain di majlis itu.
Yang Berhormat Pehin ketika menyaksikan pameran.
Yang Berhormat Pehin ketika menyaksikan pameran.
Antara peserta yang hadir di persidangan tersebut.
Antara peserta yang hadir di persidangan tersebut.

Projek ini dijangka siap pada tahun depan dengan melibatkan seramai 150 guru di enam kluster sekolah dalam mata pelajaran matematik, sains, MIB dan pengajian sosial.

Antara projek lain yang turut dibiayai oleh BRC adalah Portfolio Adaptasi bagi Pembelajaran Peribadi (APPL) yang mana ia bertujuan untuk memajukan konsep pusat pembelajaran pelajar melalui pembelajaran peribadi untuk membantu guru-guru dan pembuat dasar dalam menyokong SPN 21.

Persidangan yang berlangsung sehingga 4 Jun itu akan mengetengahkan pelbagai isu sub-sub tema yang berkaitan dengan tahap pendidikan termasuk pendidikan awal kanak-kanak, persekolahan peringkat rendah dan menengah, pendidikan teknikal dan vokasional serta pengajian tinggi.

Ia bertujuan untuk mengkaji secara terperinci mengenai pendidikan abad ke-21 yang diharap akan dapat membantu memperkasa para pelajar agar mempunyai kehidupan yang bermakna dan bersifat produktif dalam semua tahap perkembangan dan pertumbuhan mereka.

Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai saluran penting untuk para penyelidik dan intelek dalam mengeratkan hubungan melalui peluang rangkaian penyelidikan yang meliputi pelbagai bidang khusus pendidikan, serta akan membukakan peluang kepada para cendekiawan antarabangsa untuk membina rangkaian penyelidikan yang berpotensi.

Tiga pembentang dijemput untuk membentangkan kertas kerja ucaptama iaitu Profesor Frederick Leung dari Universiti Hong Kong; Profesor Patrick Griffin dari Universiti Melbourne dan Ketua Penasihat Pendidikan, Sir Michael Barber dari Pearson, United Kingdom.

Persidangan ini turut menampilkan 95 kertas kerja yang dibentangkan oleh para pembentang tempatan dan antarabangsa.

Ia disertai lebih 100 peserta tempatan dan antarabangsa termasuk pensyarah-pensyarah institusi pengajian tinggi, para guru dari sekolah kerajaan dan swasta serta pegawai-pegawai daripada kementerian berkepentingan dan peserta antarabangsa dari Malaysia, Filipina, India dan Oman.

Selain itu, mahasiswa dan mahasiswi PhD dari SHBIE turut mempamerkan hasil kajian masing-masing dalam pameran yang diadakan.

Persidangan ini akan diakhiri dengan sesi lawatan ke tempat-tempat yang telah diaturkan khusus untuk para peserta luar negara.

ARTIKEL YANG SAMA