Iceland berpesta

Iceland berpesta

REYKJAVIK, Iceland, 28 Jun (AFP) – Kira-kira 10,000 peminat bola sepak memenuhi dataran Reykjavik ketika melihat pasukan mereka melangkah ke suku akhir selepas mengejutkan England 2-1 di peringkat 16 terbaik Euro 2016, pagi tadi.

Kejayaan di Nice, Perancis itu mencetus suasana kegembiraan luar biasa di Iceland dengan sebahagian besar memenuhi dataran itu sebagai tanda sokongan atas kejayaan bersejarah itu.

Kejayaan itu turut disaksikan Presiden Olafur Ragnar Grimsson serta bakal presiden, Gudni Johannesson, yang menang pilihan raya Sabtu lalu.

Menteri Luarnya menerusi Twitter menulis: “Tiada kata-kata untuk menggambarkannya, hanya tangisan kegembiraan.”

Namun ada juga pemimpinnya yang seronok dengan kekalahan England itu. “Ini benar-benar Brexit,” kata Timbalan Pengerusi Parti Pirate merangkap Ahli Parlimen Iceland, Asta Helgadottir menerusi Twitternya.

Reaksi warga Iceland ketika menyaksikan siaran langsung pasukan mereka berjaya membenam England pada pusingan 16 terakhir di Perancis dari skrin gergasi di Reykjavik kelmarin. – AFP
Reaksi warga Iceland ketika menyaksikan siaran langsung pasukan mereka berjaya membenam England pada pusingan 16 terakhir di Perancis dari skrin gergasi di Reykjavik kelmarin. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Budak kami hantar England pulang,” Tajuk berita akhbar Internet Frettabladid yang merujuk kejayaan pemain kebangsaan mereka ke suku akhir.

Iceland amat jarang mengecapi kejayaan dalam bidang sukan untuk diraikan secara besar-besaran. Setakat ini, mereka hanya pernah berpesta hasil kejayaan pasukan bola baling lelaki mereka yang muncul pemenang pingat perak Olimpik 2008 di Beijing.

Selain itu, Iceland dan Britain boleh dianggap seteru dalam bidang perikanan bermula pada 1950 hingga 1970 yang menyaksikan Iceland menang perjuangan itu.

Iceland juga pernah menang perbicaraan mahkamah antarabangsa berhubung pertikaian hak bayaran pampasan bagi pendeposit susulan kejatuhan Bank Icesave yang lingkup perniagaannya pada 2008.