Iceland ikat Portugal

Iceland ikat Portugal

SAINT-ETIENNE, 15 Jun (AFP) – Pasukan kerdil Iceland mencipta kejutan selepas mengikat Portugal 1-1 dalam penampilan pertama di pentas Kejohanan Eropah tatkala penyerang sensasi Cristiano Ronaldo gagal menjaringkan gol biarpun menyamai rekod penampilan terbanyak untuk negara yang dipegang Luis Figo.

Penyudah hebat oleh Nani menyaksikan Portugal mendahului perlawanan sebelum perancang tengah Iceland Birkir Bjarnason menyamakan kedudukan untuk skuad Scandinavia di Saint Etienne.

Ronaldo menyamai rekod penampilan terbanyak Figo dengan kedua-dua legenda Portugal itu kini mengumpul 127 kap.

Bagaimanapun, ia adalah malam yang sunyi buat bintang Real Madrid yang gagal muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam empat edisi Kejohanan Eropah, selepas dia dikecewakan oleh kekentalan pertahanan Iceland dan persembahan bertenaga penjaga gol Hannes Halldorsson.

“Kami berada pada tahap terbaik, kami adalah sebuah pasukan yang lebih baik dan kami bermain bola sepak lebih baik, tetapi Iceland juga sebuah pasukan yang bagus dan banyak bermain hantaran jauh, yang menyebabkan kami berdepan masalah,” kata penjaring gol Nani.

Midfield Iceland Aron Gunnarsson (kiri) bersaing untuk menguasai bola dengan Cristiano Ronaldo dalam aksi Kumpulan F di stadium Geoffroy-Guichard, Saint-Etienne kelmarin. – AFP
Midfield Iceland Aron Gunnarsson (kiri) bersaing untuk menguasai bola dengan Cristiano Ronaldo dalam aksi Kumpulan F di stadium Geoffroy-Guichard, Saint-Etienne kelmarin. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Kami mempunyai peluang yang secukupnya tetapi kami tidak boleh menjaringkan satu lagi gol. Itulah bola sepak.”

Iceland, sebuah negara kepulauan kecil di utara lautan Atlantik dengan 330,000 penduduk, adalah negara terkecil dari segi jumlah penduduk yang pernah beraksi di pentas akhir Euro.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang penyokong mereka untuk membanjiri satu penjuru Stade Geoffrey Guichard dengan lautan biru muda dan mereka meraikan dengan penuh bergaya jaringan penyamaan Bjarnason.

Namun, tiada tempat buat bekas penyerang Chelsea dan Barcelona Eidur Gudjohnsen, 37, yang hanya berada di bangku simpanan selepas kembali daripada persaraan untuk beraksi di Perancis.

Ronaldo mempunyai beberapa peluang, dengan yang paling bahaya hadir menerusi tandukan padu sebelah kiri yang terus ke dakapan Halldorsson.

Keputusan terikat itu menyaksikan saingan Kumpulan F masih terbuka luas selepas Hungary mengejutkan Austria 2-0 di Bordeaux sebelum itu untuk menempa kemenangan pertama mereka di kejohanan utama dalam tempoh 30 tahun.

Portugal seterusnya akan berdepan Austria di Paris, manakala Iceland melayan pendahulu kumpulan Hungary di Marseille, Sabtu ini.