Iceland tidak berada dalam permainan video FIFA 17

Iceland tidak berada dalam permainan video FIFA 17

REYKJAVIK, 21 Sept – Iceland tidak akan beraksi dalam permainan video terbaru FIFA berikutan masalah kewangan di antara finalis suku akhir Euro 2016 itu dan pengilang permainan video Amerika Electronic Arts (EA).

Pertubuhan Bola Sepak Iceland (KSI) telah menuduh EA memperlihatkan mereka kurang hormat dalam tawaran kewangan mereka kepada pasukan kerdil Eropah.

“Kami tidak mahu menerima layanan buruk. Mereka menawarkan di bawah dua juta mata wang Iceland (15,500 euro atau AS$17,300). Kami memberikan mereka tawaran balas, yang mereka tidak menerima sama sekali,” ujar presiden KSI Geir Thorsteinsson memberitahu AFP. Siri permainan video FIFA ini begitu terkenal dengan versi terbarunya FIFA 17 yang akan dikeluarkan pada 27 September di Amerika Utara dan dua hari selepas itu ke seluruh dunia.

Keputusan Iceland dikritik oleh konsultan pemasaran Andres Jonsson, yang berkata negara Nordik itu terlepas peluang keemasan selepas kejayaan Euro pada awal tahun ini. Jonsson memberitahu penyiar Iceland RUV dia percaya Iceland mungkin akan mengubah fikiran.

“Saya berasa ratusan juta orang bermain permainan ini. Iceland adalah pasukan kultus yang mahu perhatian. Sering kali pasukan-pasukan kecil dengan pemain-pemain menarik mendapat populariti dalam permainan ini,” ujar Jonsson.

Iceland memberikan salah satu kejutan terbesar dalam sejarah Kejohanan Eropah di Perancis pada Jun apabila mereka menewaskan England 2-1 dan mara ke kejohanan suku akhir, sebelum tewas 5-2 kepada penganjur. – AFP