ICT pemacu inovasi

ICT pemacu inovasi

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Selama beberapa tahun, persekitaran perniagaan global bergelut, dengan industri pembuatan yang berlebihan, ditambah pula dengan permintaan yang menurun, telah membawa kepada kemelesetan ekonomi global dan persaingan yang semakin sengit dalam kalangan perniagaan yang sedia ada dan tradisional.

Walau bagaimanapun, perniagaan yang berorientasikan teknologi terus dominan, ujar Duta Besar Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Cho Won Myung.

“Selaras dengan perubahan masa, saya rasa, industri juga perlu berubah daripada cara perniagaan tradisional kepada cara yang lebih inovatif yang terdiri daripada inovasi produk, inovasi proses, inovasi pasaran dan inovasi perkhidmatan, bagi memastikan daya saing industri.

“Dalam hal ini, ICT menyediakan asas bagi menubuhkan platform inovasi untuk memacu lebih nilai tambah kepada industri pembuatan dan perkhidmatan,” jelas beliau lagi semasa berucap pada Persidangan ICT Brunei-Korea di sini, hari ini.

Beliau seterusnya berkata bahawa Korea telah sentiasa berminat untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif ICT dengan pendekatan dipacu kerajaan selama beberapa dekat.

“Hasilnya, e-Kerajaan Korea telah menjadi salah satu negara terbaik di dunia selama sekitar 10 tahun, menurut UNDESA (Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB).

“Infrastruktur ICT sebegini termasuk e-Kerajaan membolehkan syarikat-syarikat ICT Korea seperti Samsung berada pada kedudukan dominan dalam pasaran global. Walaupun Korea tidak mempunyai sumber semula jadi, ia telah berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi kerana industri ICT,” ujarnya.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh mengenai perancangan pembangunan jangka masa panjang Wawasan Brunei 2035 yang telah dilancarkan pada tahun 2007, yang menurutnya, untuk mencapai matlamat-matlamat utama wawasan berkenaan, kita perlu bergerak ke hadapan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan untuk mengatasi dilema dihadapi oleh sebuah negara yang bergantung kepada sumber semula jadi dalam kejatuhan ekonomi baru-baru ini.

“Pengalaman Korea akan menjadi pengajaran yang baik bagi Brunei untuk berjaya mencapai ekonomi berasaskan pengetahuan dalam Wawasan 2035 dengan mempromosikan industri ICT dan melaksanakan program-program ICT,“ tambahnya.

Menurut beliau lagi, masa adalah sumber yang paling berharga, oleh itu beliau mencadangkan supaya kita menggunakan masa untuk memperkenalkan inisiatif bagi Brunei dan Korea.