ICT: Utamakan pengambilan pekerja tempatan

ICT: Utamakan pengambilan pekerja tempatan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BIT Council) diseru supaya membuat penilaian semula keadaan perkembangan teknologi maklumat di negara ini dan memastikan cara untuk negara menambah nilai (sumbangan anak) tempatan bagi membolehkan rakyat di negara ini memasuki pasaran teknologi maklumat.

Sehubungan itu, syarikat ICT luar yang melabur di negara ini juga diharap akan lebih menitikberatkan pengambilan pekerja tempatan daripada bergantung kepada pekerja dari luar.

Menteri Perhubungan berkata, nilai tambah yang disumbangkan oleh anak tempatan perlu diberikan penekanan sebagai satu objektif selaras dengan aspirasi untuk mengadakan usaha membangunkan perniagaan tempatan dalam sektor ICT sambil mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja dari luar.

Menurut Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat lagi, jika perkara itu tidak diberikan perhatian secara khusus maka akan berlaku jurang kemahiran yang mana lepasan universiti tempatan tidak mempunyai kesempatan untuk menyumbangkan kebolehan mereka kerana tewas kepada pekerja luar dalam persaingan ICT.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyampaikan ucapan perasmian Kertas Putih ICT Kebangsaan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyampaikan ucapan perasmian Kertas Putih ICT Kebangsaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Kertas Putih ICT Kebangsaan dan Pelan Induk Tenaga Kerja ICT, yang berlangsung di Kementerian Perhubungan, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad dan setiausaha tetap serta timbalan setiausaha tetap dari kementerian lain.

Kertas Putih ICT Kebangsaan Negara Brunei Darussalam diwujudkan untuk merangka pelan strategi dan program bagi pelaksanaan ICT di peringkat kebangsaan untuk mendukung hasrat negara dalam mencapai matlamat Wawasan 2035.

Penyediaan Kertas Putih itu memfokuskan kepada usaha pembaikan melalui inisiatif yang boleh diaplikasikan secara menyeluruh ke atas enam sektor utama yang merangkumi e-Kerajaan, tenaga, kesihatan pengangkutan, pendidikan dan perkhidmatan.

Sementara itu, Pelan Induk Tenaga Kerja ICT dilancarkan sebagai pelengkap kepada Kertas Putih ICT Kebangsaan dalam menangani permintaan tenaga kerja ICT dan jurang kemahiran di negara ini.

Pelan induk itu mengenal pasti keperluan masa depan industri ICT di negara ini dengan mengatur strategi dan program bagi memastikan tenaga kerja ICT yang berkemahiran dapat memenuhi keperluan-keperluan berkenaan. Pelan induk itu juga dilaksanakan sebagai satu cara untuk mengatasi cabaran tenaga kerja ICT dan bagi membolehkan ICT menjadi tonggak utama untuk pertumbuhan ekonomi negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA