‘Iddah dan persoalannya

‘Iddah dan persoalannya

minda_logo-indahnya-islam

SIRI 1

 

MASYARAKAT Arab pada masa jahiliah mempunyai bermacam-macam adat, tradisi dan upacara-upacara aneh yang semuanya mereka warisi dari nenek moyang mereka secara turun-temurun. Sebagai contoh wanita yang kematian suami akan diperlakukan mengikut cara dan adat yang telah mereka amalkan. Adapun antara adat mereka itu adalah seperti berikut:

1) Wanita yang kematian suami adalah menjadi hak keluarga suaminya iaitu keluarga pihak suami lebih berhak atas wanita tersebut daripada keluarga wanita itu sendiri.

2) Jika suami yang meninggal dunia, maka isterinya akan diwarisi oleh ahli waris yang mewarisi harta suaminya.

3) Isteri tidak diberikan hak untuk berkahwin dengan pilihan sendiri atau pilihan orang lain dan dia hendaklah mengikut kemahuan ahli waris suaminya.

4) Isteri yang kematian suami tidak berhak menerima bahagian dari harta peninggalan suaminya, walaupun harta yang ditinggalkan suami itu dalam jumlah yang banyak dan harta peninggalan suami itu juga tidak akan diberikan kepada isteri untuk keperluannya semasa dia menjalani kehidupan sendiri.

Hal-hal yang sedemikian tidak menghairankan kerana perempuan pada masa jahiliah dipandang rendah darjatnya berbanding dengan lelaki.

m4-iddah-1_02122016

Setelah kedatangan Islam, kehidupan wanita telah berubah khususnya bagi wanita yang kematian suami atau yang bercerai, martabat mereka telah diangkat dan diberikan hak-hak tertentu, umpamanya mereka tidak lagi dianiaya dan tidak lagi diperlakukan secara zalim sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya, “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka dengan menahan dan menyusahkan mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikkan yang banyak (untuk kamu)” (Surah an-Nisaa’: 19)

Adapun antara keistimewaan dan hak yang telah diberikan kepada kaum wanita ialah tuntutan untuk ber‘iddah. ‘Iddah merupakan ketentuan atau ketetapan syara‘ yang diwajibkan ke atas wanita yang telah bercerai sama ada suami- isteri itu bercerai hidup atau mati, maka wajiblah dijalankan hukum ‘iddah tanpa dilengah-lengahkan oleh isteri yang diceraikan itu mengikut sebab-sebabnya yang tertentu.

Takrif ‘Iddah

‘Iddah berasal dari perkataan Arab. ‘Iddah dari segi bahasa bermaksud bilangan iaitu menghitung quru’ dan bulan. Manakala ‘iddah dari segi syara‘ pula bermaksud satu jangka masa yang ditetapkan bagi seorang wanita yang telah diceraikan suami untuk menunggu bagi memastikan rahimnya bersih daripada kehamilan atau sebagai menunaikan tuntutan ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala atau untuk menzahirkan rasa kesedihan bagi isteri yang bercerai kerana kematian suami.

Pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, seorang wanita yang bernama Asma’ binti Zaid telah diceraikan oleh suaminya. Pada waktu itu, ‘iddah belum lagi disyariatkan bagi wanita yang dicerai. Maka dari peristiwa tersebut turunlah ayat al-Quran menerangkan tentang cara tuntutan ‘iddah bagi wanita yang dicerai sama ada cerai hidup ataupun cerai mati.

Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya, “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid) .” (Surah al-Baqarah: 228)

Menurut Imam asy-Syafi\ʼe, quru’ bermaksud suci daripada haid. Berdasarkan ayat di atas bahawa talak hanya akan terjadi semasa suci, kerana itu haram menjatuhkan talak pada masa isteri dalam keadaan haid.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam juga menunjukkan tentang adanya ‘iddah bagi isteri yang dicerai sebagaimana kisah Fatimah Binti Qais tatkala dia ditalak oleh suaminya. Menurut riwayat Imam Muslim, dia berjumpa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menanyakan tentang hal tersebut dan Baginda pun bersabda yang maksudnya, “Hendaklah ber‘iddah (jalanilah ‘iddah) kamu di rumah Umm Makthum.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan dari dalil-dalil yang tersebut di atas bahawa menjalani ‘iddah itu wajib ke atas setiap wanita yang bercerai sama ada penceraian hidup atau kerana kematian suami.

Bahagian ‘Iddah

‘Iddah nikah itu terbahagi kepada dua bahagian :

(i)‘Iddah kerana talak atau fasakh :

Iaitu ‘iddah kerana dicerai suami ketika masih hidup disebabkan oleh talak atau fasakh. Penceraian tersebut terjadi setelah berlaku jimak (persetubuhan) di antara suami dan isteri.

(ii) ‘Iddah kerana kematian suami :

Iaitu ‘iddah disebabkan oleh kematian suami sama ada berlaku jimak atau sebaliknya.

Maka dalam keadaan-keadaan di atas, seorang wanita yang dicerai atau di fasakh adalah wajib menjalani ‘iddah. Begitu juga dengan wanita yang kematian suami sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadits Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.

Tempoh ‘Iddah Kerana Talak Atau Fasakh

‘Iddah diwajibkan ke atas wanita yang bercerai ketika masih hidup setelah berlaku jimak dengan suaminya dengan sebab talak atau fasakh.

Wanita yang telah dijimak itu pula terbahagi kepada beberapa kumpulan iaitu :

Wanita yang masih haid tetapi tidak hamil, tempoh ‘iddahnya ialah tiga kali quru\ʼ iaitu tiga kali suci daripada haid.

Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tafsirnya, “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka dari berkahwin selama tiga kali suci dari haid.” (Surah al-Baqarah: 228)

Wanita yang telah berhenti darah haid kerana lanjut usia (menopaus) atau belum pernah didatangi haid (belum baligh), tempoh ‘iddahnya ialah selama tiga bulan.

Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tafsirnya: “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak terhadap tempoh ‘iddah mereka maka ‘iddahnya ialah tiga bulan dan demikian juga ‘iddah perempuan-perempuan yang tidak haid.” (Surah at-Thalaq: 4)

Jika wanita ini didatangi haid ketika masih menjalani tempoh ‘iddah (masih dalam tempoh tiga bulan), maka wajiblah dia menukar ‘iddah tiga bulan kepada ‘iddah tiga quru’ iaitu tiga kali suci daripada haid. Manakala tempoh suci yang telah dijalaninya sebelum itu tidaklah dikira dan hendaklah wanita tersebut memulakan penghitungan dengan tempoh ‘iddah yang baru iaitu selama tiga quru’ (tiga kali suci dari haid) .

Adapun bagi wanita yang didatangi haid setelah selesai menjalani ‘iddah selama tiga bulan, maka tidak perlu dia mengulangi lagi ‘iddah tiga quru’ dan memadailah ‘iddah yang telah dilaluinya sebelum ia didatangi haid iaitu selama tiga bulan.

Wanita yang mempunyai haid tetapi terhenti haidnya, sama ada diketahui sebabnya seperti terhenti disebabkan menyusukan anak atau penyakit, ataupun tidak diketahui sebab-sebab terhenti darah tersebut. Maka bagi menentukan kadar ‘iddahnya hendaklah wanita tersebut bersabar menunggu sehingga haidnya datang kembali, sekalipun memakan masa yang panjang. Jika haidnya telah datang, maka tempoh ‘iddah wanita itu ialah tiga quru’ (tiga kali suci dari haid ).

Jika perempuan tersebut mencapai kepada umur wanita yang putus haid (menopaus) di antara 45-50 atau 62 tahun, maka ‘iddah wanita itu ialah tiga bulan, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak menjadikan ‘iddah tiga bulan itu kecuali untuk wanita yang tidak haid dan wanita yang putus haid.

Walau bagaimanapun, jika haidnya datang semasa dia menjalani ‘iddah tiga bulan itu, maka wajiblah menukar tiga bulan kepada ‘iddah tiga quru’ iaitu tiga kali suci daripada haid dengan serta merta.

Jika haidnya datang setelah dia selesai menjalani ‘iddah tiga bulan dan dia bernikah selepas itu maka sah hukum nikahnya. Tetapi jika dia tidak bernikah selepas ‘iddahnya itu, maka wajib keatasnya ber‘iddah lagi dengan ‘iddah tiga quru’ kerana telah terbukti dia belum lagi putus haid.

Bersambung minggu depan…

ARTIKEL YANG SAMA