Idea inovatif aplikasi WaterPro

Idea inovatif aplikasi WaterPro

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Aplikasi WaterPro yang direka untuk memantau penggunaan air di kediaman dan membolehkan penggunanya membayar bil air pada bila-bila masa dan di mana sahaja telah dipilih oleh panel hakim sebagai pemenang idea inovatif dalam aplikasi ICT pada Majlis Penutup Kem Teknologi Program ICT.INNOV8 yang diadakan di Auditorium iCentre, Anggerek Desa, hari ini.

Pereka aplikasi berkenaan, Pasukan WaterPro yang terdiri daripada empat peserta telah berjaya menewaskan lima pasukan terbaik yang dipilih untuk membentangkan idea-idea inovatif mereka kepada panel hakim dan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berserta sijil dan hadiah tambahan daripada penaja.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup program itu ialah Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai.

Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias ​​bin Haji Abu Bakar, pegawai-pegawai Kumpulan Pembangun Google Brunei Darussalam, Startup Hub, iCentre, ketua-ketua jabatan, ketua sekolah dan pensyarah SICT Politeknik Brunei.

Pasukan WaterPro berjaya menewaskan pasukan lain dalam Program ICT.INNOV8.
Pasukan WaterPro berjaya menewaskan pasukan lain dalam Program ICT.INNOV8.

Majlis penutup dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti kenyataan ringkas daripada Pemangku Ketua Pusat Pengajian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (SICT), Awang Mohammad Hamdani Mustapa.

Program ‘ICT.INNOV8’ diselaraskan oleh Pusat Pengajian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Brunei dengan kerjasama Kumpulan Pembangun Google Brunei Darussalam, Startup Hub dan iCentre telah dilancarkan pada Sabtu lalu di iCentre, Anggerek Desa yang disertai oleh lebih 180 pelajar dengan mempamerkan idea-idea inovatif mereka dalam aplikasi ICT kepada panel hakim dalam sesi penilaian.

ARTIKEL YANG SAMA