Iflix ke Indonesia bulan depan

Iflix ke Indonesia bulan depan

KUALA LUMPUR, 26 Mei – iflix, perkhidmatan televisyen Internet Asia Tenggara, yang bakal menyambut ulang tahun pertama Khamis ini, akan memasuki pasaran Indonesia pada bulan depan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan iflix Azran Osman-Rani berkata kumpulan itu telah memeterai perjanjian perkongsian baru-baru ini dengan syarikat telekomunikasi terbesar negara itu, Telekomunikasi Indonesia (Telkom).

“Ia adalah sebahagian daripada usaha kumpulan untuk meningkatkan asas pelanggannya, daripada lebih sejuta pada masa ini, dengan kebanyakan mereka adalah pengguna telefon pintar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif iflix Malaysia, berkata bagi masa depan, kumpulan itu menyasar untuk mempunyai asas pelanggan lebih daripada 25 juta di rantau ini.

Bermula dengan hanya 25 pekerja pada tahun lepas, iflix, penyedia perkhidmatan TV Internet bagi rantau Asia Tenggara, kini mempunyai lebih 100 pekerja dan telah berkembang ke Thailand dan Filipina.

Terdapat laporan yang kumpulan itu meneroka peluang di Timur Tengah dan Afrika. Bernama baru-baru ini melaporkan iflix merancang untuk mengukuhkan kedudukan dengan menjalin perkongsian dengan syarikat-syarikat telekomunikasi, bank dan pengeluar peranti.

Pada masa ini, iflix bekerjasama dengan lima syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia iaitu Telekom Malaysia, Digi Telecommunications, Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd, serta PLDT di Filipina dan TrueMove H di Thailand.

Azran berkata perolehan kumpulan itu kebanyakannya disumbangkan oleh yuran langganan yang diperoleh daripada syarikat telekomunikasi.

iflix diasaskan oleh Catcha Group yang berpangkalan di Malaysia dengan kerjasama Evolution Media Capital, cabang pelaburan Creative Artists Agency, Hollywood.

Sebelum pelancarannya pada 26 Mei 2015, iflix menarik AS$15 juta dalam pelaburan daripada PLDT Inc yang kini memiliki 7.5 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Pada Mac, syarikat media yang berpangkalan di Eropah, Sky Plc, menyuntik AS$45 juta pada iflix, yang menandakan pelaburan pertama pembekal TV berbayar Eropah itu di Asia Tenggara. – Bernama