iflix sedia berkembang lepasi ASEAN

iflix sedia berkembang lepasi ASEAN

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Perkhidmatan TV Internet, iflix, dijangka berkembang ke pasaran di luar Asia Tenggara atau ASEAN pada separuh kedua tahun ini, dalam usaha untuk mendapatkan satu bilion pelanggan menjelang 2020.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Azran Osman-Rani, berkata sasaran iflix masih ke atas pasaran pesat membangun, dan syarikat itu setakat ini telah mendapat lebih daripada satu juta pelanggan berbayar di seluruh ASEAN.

Beliau berkata pengumuman mengenai perkongsian strategik dengan pengendali telekom di tiga lagi negara ASEAN akan dibuat minggu depan, diikuti sebuah di negara bukan anggota.

“Ini merupakan tambahan kepada penembusan benua baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

iflix kini mempunyai empat juta pelanggan di kesemua pasaran sedia ada iaitu di Malaysia, Filipina, Thailand, dan baru-baru ini melebarkan sayap di pasaran terbesar di rantau ini, Indonesia.

“Kami gembira ke atas pelancaran di Indonesia baru-baru ini, yang pada bulan pertama sahaja, menunjukkan pertumbuhan pelanggan berganda, berbanding Malaysia dan Thailand,” katanya kepada Bernama di luar acara tayangan media ‘Mr Robot’ (musim 2) di sini baru-baru ini.

Episod baharu daripada siri TV Amerika Syarikat itu menambah koleksi perpustakaan iflix yang semakin bertambah bagi tayangan eksklusif pertama.

Bualan dalam pasaran kini membayangkan iflix akan melancarkan perkhidmatannya di Sri Lanka dan Timur Tengah serta Afrika tidak lama lagi.

Dengan menyatukan perkhidmatan video atas permintaan dengan penawa-ran telekomunikasi, Azran berkata iflix memperoleh 1.5 juta pelanggan berbayar di seluruh negara ASEAN yang ditembusinya setakat ini.

“Kami akan lebih gembira apabila asas pelanggan kami mencecah satu bilion.

“Menjelang 2020, dijangkakan terdapat kira-kira tiga bilion pengguna telefon mudah alih dengan sambungan data merentas pasaran pesat membangun, tidak termasuk India dan China.

“Saya percaya iflix mungkin memperoleh satu pertiga daripadanya. Itulah pelan strategi kami dalam jangka panjang. Orang ramai mahukan hiburan. Di sesetengah tempat, mereka membayar untuk kandungan cetak rompak.

“Langganan kami hampir sama harga dengan DVD cetak rompak,” katanya.

Azran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif iflix Malaysia, berkata pemba-bitan atau penggunaan dalam kalangan pelanggan Telekom Malaysia (TM) dan Digi agak tinggi walaupun tawaran baru sahaja dibuat dalam tempoh enam bulan lepas.

Beliau berkata perkhidmatan video-atas-permintaan berasaskan Internet seperti iflix penting bagi syarikat telekomunikasi memandangkan mereka mahu menjual lebih banyak pakej data.

iflix yang berpangkalan di Kuala Lumpur menawarkan judul pilihan klasik dan semasa siri komedi, drama, kartun, filem Hollywood, dan program lain dari United Kingdom, AS dan Asia.

Perkhidmatan ini ditawarkan pada harga langganan RM8 sebulan di Malaysia untuk akses tanpa had dan tanpa iklan.

Memandangkan kandungan tempatan merupakan kunci kepada strategi iflix, Azran berkata syarikat itu telah memulakan usaha untuk menyediakan penerbitan serantau bagi siri televisyen tempatan dalam tempoh terdekat.

Ia merupakan tambahan kepada kesinambungan usaha menyiarkan sari kata untuk hampir ke semua benua, bagi mematuhi standard kawal aturan dan sensitiviti, dan pada masa yang sama menambah baik video dan teknologi aplikasi android. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA