IHH lakukan pecah tanah sulung di Myanmar

IHH lakukan pecah tanah sulung di Myanmar

KUALA LUMPUR, 25 Jan – IHH Healthcare Bhd, melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Parkway Healthcare Indo-China Pte Ltd, hari ini meraikan majlis pecah tanah pertamanya di Myanmar, bagi pembinaan hospital dengan 250 katil bernilai AS$70 juta di Yangon.

Hospital baharu itu, Parkway Yangon, merupakan hospital pertama Parkway Pantai di Myanmar, menurut IHH dalam satu kenyataan di sini hari Ahad.

Projek itu akan dibangunkan dan dikendali secara usaha sama konsortium – Andaman Alliance Healthcare Ltd (AAHL), terdiri daripada Parkway Healthcare Indo-China Pte Ltd (52 peratus), Macondray Holdings Pte Ltd yang diperbadankan di Singapura (10.5 peratus), AMMK Medicare Company Lt yang diperbadankan di Myanmar (21.5 peratus) serta Global Star Company Ltd dari Myanmar (16 peratus).

Hospital di pusat bandar Yangon itu terletak di atas kawasan seluas 1.74 hektar yang merupakan tanah pajakan 50 tahun pada kadar pasaran semasa, dengan opsyen dua lanjutan tempoh 10 tahun.

Ia merupakan komitmen penting untuk melabur dalam komuniti tempatan melalui model bina-kendali-pindah dan pelaburan untuk projek berkenaan telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Pelaburan Myanmar, menurut IHH.

Majlis pecah tanah Parkway Yangon dirasmikan oleh Ketua Menteri Wilayah Yangon, U Myint Swe dan Menteri Kesihatan, Dr Than Aung.

“Usaha sama yang menguja ini akan memberi penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada penduduk Myanmar sebaik sahaja hospital itu dibuka pada 2020.

Kewujudan Parkway Yangon akan menjadi pemangkin kepada bidang latihan penjagaan kesihatan profesional seperti jururawat dan pengamal penjagaan kesihatan berkaitan di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat negara itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA