IHP April meningkat 0.2%

IHP April meningkat 0.2%

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan April 2015 meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding Mac 2015 berikutan peningkatan dalam pengangkutan, perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah, serta rekreasi dan kebudayaan.

Menurut kenyataan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, hari ini, peningkatan sebanyak 0.9 peratus telah dicatatkan bagi pengangkutan disebabkan oleh kos yang tinggi bagi alat ganti dan aksesori kenderaan serta perkhidmatan pengangkutan melalui udara.

Perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah pula meningkat sebanyak 0.3 peratus disebabkan oleh peningkatan kos bagi kebanyakan perabot dan perhiasan, tekstil isi rumah, peralatan isi rumah, barangan kaca, pinggan mangkuk dan kelengkapan isi rumah serta barangan isi rumah yang tidak tahan lama.

Rekreasi dan kebudayaan meningkat sebanyak 0.3 peratus disebabkan oleh harga yang tinggi bagi peralatan audio-visual, media rakaman tanpa rekod, majalah dan bahan bacaan lain serta pakej percutian dan umrah.

Sementara itu, penurunan sebanyak 1.4 peratus telah dicatatkan bagi indeks kesihatan disebabkan oleh kos yang rendah bagi penyediaan perubatan dan ubat yang berpaten.

Pakaian dan kasut juga menurun sebanyak 0.4 peratus disebabkan oleh harga yang rendah bagi fabrik kain serta pakaian dan baju, manakala itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan menurun sebanyak 0.2 peratus secara keseluruhan disebabkan oleh kos yang rendah bagi barangan bukan elektrik bagi penjagaan diri, produk kecantikan serta lain-lain perkhidmatan.

Dalam pada itu, berbanding tempoh sama tahun lalu, IHP April 2015 menurun 0.3 peratus yang mana sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan indeks pengangkutan; pakaian dan kasut; dan pendidikan.

IHP ini adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu. Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan April 2015 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE, www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA