IHP April turun 0.9%

IHP April turun 0.9%

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan April 2016 telah menunjukkan penurunan sebanyak 0.9 peratus berbanding Mac 2016 sementara Indeks makanan dan minuman ringan dan indeks bukan makanan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus dan 1.1 peratus.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam kenyataannya di sini hari ini menyatakan, faktor utama yang menyebabkan penurunan pada indeks harga pengguna bulanan ialah penurunan bagi indeks pengangkutan sebanyak 1.7 peratus, disebabkan harga rendah bagi tiket tambang penerbangan.

Ini diikuti penurunan indeks perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah sebanyak 2.4 peratus disebabkan penurunan harga tekstil isi rumah. Indeks pakaian dan kasut juga menurun sebanyak 4.6 peratus disebabkan harga rendah beberapa pakaian dan baju serta bahan untuk pakaian.

Sementara itu, Indeks Restoran dan Hotel mencatatkan peningkatan sebanyak kurang daripada 0.05 peratus disebabkan kenaikan harga perkhidmatan penginapan, manakala, indeks yang tidak menunjukkan perubahan adalah indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain; Pperhubungan dan pendidikan.

Berbanding April 2015, IHP bagi April tahun menurun sebanyak 1.0 peratus sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan pada indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain sebanyak 4.2 peratus; pengangkutan (2.1 peratus); dan perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (2.0 peratus).

IHP adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

Laporan penuh IHP bagi bulan April 2016 boleh didapati di laman sesawang JPKE: www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA