IHP bagi bulan Disember 2015 meningkat

IHP bagi bulan Disember 2015 meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Disember 2015 meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding November 2015.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, Indeks Bukan Makanan mencatatkan kenaikan sebanyak 0.6 peratus, manakala Indeks Makanan dan Minuman Ringan menurun sebanyak kurang dari 0.05 peratus.

JPKE berkata, IHP bulan ke bulan meningkat adalah disebabkan oleh kenaikan pada Pengangkutan (4.3 peratus); Rekreasi dan Kebudayaan (3.3 peratus); dan Perhubungan (0.2 peratus).

Sementara itu, penurunan pada Pakaian dan Kasut telah dicatatkan sebanyak 9.9 peratus diikuti oleh Perhiasan, Peralatan Isi Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah (0.9 peratus); dan Restoran dan Hotel (0.4 peratus). Walau bagaimanapun, indeks Pendidikan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Berbanding Disember 2014, IHP bagi Disember 2015 menurun 1.0 peratus, sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh penurunan pada indeks Pengangkutan 6.0 peratus; Pakaian dan Kasut (8.0 peratus); dan Pendidikan (2.8 peratus).

pg07_160126_b

Bagi keseluruhan tahun 2015, purata IHP adalah 100.0 berbanding 100.4 pada tahun 2014. Ini menjadikan kadar inflasi -0.4 peratus. Penurunan harga telah dicatatkan pada Pengangkutan 3.5 peratus; Pakaian dan Kasut (3.5 peratus); dan Pendidikan (2.6 peratus).

IHP ini adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Disember dan Tahunan 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE: www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA