IHP China naik 1.6 peratus

IHP China naik 1.6 peratus

BEIJING, 14 Okt – Indeks Harga Pengguna (IHP) China, pengukur utama inflasi, meningkat 1.6 peratus pada September berbanding tahun lepas, susut daripada dua peratus pada Ogos, media milik kerajaan melaporkan hari ini.

Berdasarkan asas bulanan, harga pengguna pada September naik 0.1 peratus, Xinhua News Agency memetik Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS). Katanya pada sembilan bulan pertama, IHP meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun.

Xinhua berkata kawasan bandar mengatasi luar bandar dalam inflasi, dengan inflasi bandar naik 1.6 peratus dan inflasi luar bandar meningkat 1.5 peratus pada September.

Harga makanan naik sebanyak 2.7 peratus, diikuti harga perkhidmatan yang meningkat 2.1 peratus, katanya.

Indeks harga pengeluar, yang mengukur inflasi borong, jatuh 5.9 peratus tahun ke tahun pada September, Xinhua memetik data daripada NBS. Katanya kerajaan menyasarkan untuk mengekalkan inflasi pengguna pada sekitar tiga peratus pada tahun ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA