IHP Januari menurun 1.8%

IHP Januari menurun 1.8%

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan penurunan sebanyak 1.8 peratus bagi bulan Januari 2016 berbanding Disember 2015, di mana indeks makanan dan minuman ringan dan indeks bukan makanan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 0.4 peratus dan 2.1 peratus.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, faktor utama yang menyebabkan penurunan IHP bulanan ialah kos yang menurun bagi Indeks Pengangkutan sebanyak 5.3 peratus, terutamanya bagi kos alat ganti dan aksesori kenderaan serta perkhidmatan pengangkutan melalui udara.

Ini diikuti oleh penurunan bagi indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain sebanyak 4.0 peratus yang disebabkan oleh kos yang menurun bagi sewa kediaman.

Indeks perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah menurun sebanyak 1.8 peratus berikutan harga yang menurun bagi tekstil isi rumah, perkakas isi rumah utama seperti barangan elektrik dan bukan elektrik, barangan kaca, pinggan mangkuk dan kelengkapan isi rumah.

Penurunan kos bagi barangan tersebut adalah bertepatan dengan sambutan Brunei Salebration yang bermula dari 07 Disember 2015 dan berakhir pada 08 Februari 2016.

Penurunan kos-kos yang disebutkan di atas diimbangi oleh peningkatan pada indeks pendidikan sebanyak 6.0 peratus disebabkan oleh kenaikan yuran sekolah swasta yang terpilih bagi pra-sekolah rendah dan pendidikan peringkat rendah serta pendidikan peringkat menengah.

Indeks hotel dan restoran juga meningkat sebanyak 0.4 peratus disebabkan oleh harga yang tinggi bagi beberapa hidangan terpilih di restoran dan kafe, kedai makanan segera dan kantin serta perkhidmatan penginapan.

Berbanding Januari 2015, IHP bagi Januari 2016 menurun sebanyak 1.2 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan indeks pengangkutan sebanyak 5.1 peratus; perumahan, sir, elektrik, gas dan bahan bakar lain (4.2 peratus); dan pakaian dan kasut (3.6 peratus).

ARTIKEL YANG SAMA