IHP Julai meningkat 0.1 peratus

IHP Julai meningkat 0.1 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Julai 2016 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus berbanding Jun 2016. Sementara itu, indeks makanan dan minuman ringan dan bukan makanan masing-masing mencatatkan peningkatan kurang dari 0.05 peratus dan 0.2 peratus.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, faktor utama yang menyebabkan peningkatan pada indeks harga pengguna bulanan adalah disebabkan oleh peningkatan harga bagi kebanyakan perabot dan perhiasan serta kelengkapan isi rumah terutamanya indeks perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah yang menyumbang sebanyak 1.2 peratus.

Ini diikuti oleh peningkatan bagi indeks pengangkutan sebanyak 0.6 peratus disebabkan oleh kenaikan harga bagi tiket tambang penerbangan dan indeks rekreasi yang tinggi bagi pakej percutian dan umrah.

Sementara itu, indeks restoran dan hotel mencatatkan penurunan sebanyak 1.1 peratus disebabkan oleh harga yang rendah bagi beberapa hidangan terpilih di restoran dan kafe serta kedai makanan segera dan lain-lain tempat makan.

Indeks perhubungan pula mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus disebabkan oleh penurunan harga bagi peralatan telefon dan telefaks. Indeks kesihatan juga mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus disebabkan oleh penurunan harga bagi penyediaan perubatan dan ubat yang berpaten serta peralatan dan kelengkapan terapeutik.

Manakala, indeks yang tidak menunjukkan perubahan adalah indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain; dan pendidikan.

Berbanding Julai 2015, IHP bagi Julai 2016 telah menurun sebanyak 0.5 peratus, di mana indeks makanan dan minuman ringan dan bukan makanan masing-masing telah mencatatkan penurunan sebanyak 1.1 peratus dan 0.3 peratus.

Sebahagian besar penurunan ini adalah disebabkan oleh penurunan pada indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain sebanyak 4.2 peratus; restoran dan hotel (2.5 peratus); dan makanan dan minuman ringan (1.1 peratus). Sementara itu, indeks yang meningkat adalah indeks perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (2.8 peratus); pendidikan (6.0 peratus); dan rekreasi dan kebudayaan (1.4 peratus).

IHP merupakan petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu. Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Julai 2016 boleh didapati melalui laman web JPKE: www.depd.gov.bn.