IHP Jun 2015 meningkat 0.1%

IHP Jun 2015 meningkat 0.1%

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Jun 2015 meningkat 0.1 peratus berbanding Mei 2015, bagaimanapun, ia menurun 0.5 peratus jika dibandingkan dengan Jun 2014.

Menurut kenyataan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), peningkatan berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan peningkatan dalam beberapa komoditi termasuk 4.2 peratus bagi pakaian dan kasut disebabkan oleh kos yang tinggi bagi kebanyakan pakaian, aksesori pakaian dan lain-lain keperluan pakaian serta kasut.

Kesihatan juga meningkat sebanyak 2.9 peratus disebabkan oleh harga yang tinggi bagi penyediaan perubatan dan ubat yang berpaten, manakala itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan meningkat sebanyak 0.2 peratus disebabkan oleh peningkatan kos bagi peralatan bukan elektrik bagi penjagaan diri, peralatan untuk penjagaan kebersihan diri, produk kecantikan dan barangan serta beg perjalanan.

Sementara itu, penurunan sebanyak 0.7 peratus telah dicatatkan bagi indeks pengangkutan disebabkan oleh kos yang rendah bagi kereta, serta alat ganti dan aksesori kenderaan.

Perhubungan menurun sebanyak 0.1 peratus disebabkan oleh kos yang rendah bagi peralatan telefon dan telefaks, manakala itu, rekreasi dan kebudayaan juga menurun kurang daripada 0.05 peratus disebabkan oleh kos yang rendah bagi peralatan audio-visual, komputer dan aksesori komputer, serta permainan dan hobi.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain; makanan dan minuman ringan; dan restoran dan hotel.

IHP adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu. Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

Laporan penuh IHP bagi bulan Jun 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE di alamat www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA