79 pelajar baru ikuti program di SVW

79 pelajar baru ikuti program di SVW

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Seramai 79 orang pelajar telah diterima masuk untuk mengikuti program-program yang ditawarkan di Sekolah Vokasinal Wasan (SVW) bagi Pengambilan ke-10 Pelajar-pelajar Baru Sesi Akademik 2015/2016.

Sehubungan dengan itu, majlis Hari Pendaftaran dan Minggu Orientasi bagi pelajar baru berkenaan telah diadakan di dewan serba guna, sekolah berkenaan, hari ini, yang telah dilancarkan oleh Pengarah Livewire yang juga selaku ahli Lembaga Tadbir SVW, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas.

Beliau dalam ucapannya antara lain menekankan kepada para pelajar agar membuat pilihan tepat dan terbaik semasa mengharungi cabaran-cabaran dan meraih peluang yang diberikan semasa pembelajaran mereka.

“Kamu tidak akan berjaya, jika sering membuat penangguhan terhadap masa kamu kerana masa itu emas. Kita haruslah bersikap tidak membuang masa dan sentiasa bijak menuju ke arah yang terbaik,” ujar Pengiran Redzuan.

Beliau juga menyeru para pelajar untuk terus tekun berusaha dan tidak berputus asa dalam mencapai kejayaan yang diingini di masa hadapan.

Pengiran Redzuan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis itu, kelmarin.
Pengiran Redzuan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis itu, kelmarin.
Antara pelajar baru yang akan mengikuti pengajian di SVW bagi pengambilan ke-10 sesi 2015/2016.
Antara pelajar baru yang akan mengikuti pengajian di SVW bagi pengambilan ke-10 sesi 2015/2016.

Sementara itu, Timbalan Pengetua Akademik SVW, Hajah Maznah binti Haji Abdullah dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan SVW akan menawarkan dua program baru di peringkat Kursus Sijil Pendidikan Tinggi Kebangsaan Teknikal (HNTEC) iaitu HNTEC dalam Sains Makmal, HNTEC bagi Juruteknik Farmasi, dan tiga program baru di peringkat Kursus Sijil Pendidikan Kebangsaan Teknikal (NTEC) iaitu NTEC dalam Akuakultur, NTEC dan Penghasilan Tanaman dan Ternakan serta NTEC dalam Pemprosesan Makanan.

Menurut beliau, program-program baru yang ditawarkan ini sempena perlaksanaan Transformasi Pendidikan Teknikal dan Voka-sional Brunei yang bertujuan untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang berguna, relevan dan bersesuaian dengan keperluan industri khasnya yang boleh membuka peluang kepada para pelajar untuk mendapatkan pekerjaan dan bersaing secara sihat serta berjaya di peringkat dalam negeri dan antarabangsa.

Majlis diteruskan dengan pelancaran pameran bertema ‘Synergy’ yang menggambarkan perpaduan dan kerjasama daripada semua jabatan-jabatan pengajian di sekolah tersebut dan diakhiri dengan bacaan ikrar oleh pelajar-pelajar baru.

Para pelajar baru berkenaan akan mengikuti program orientasi selama empat hari sehingga 30 Julai dan akan memulakan sesi pembelajaran pada 3 Ogos.

ARTIKEL YANG SAMA