IHP Jun turun 0.7%

IHP Jun turun 0.7%

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Jun 2016 telah menunjukkan penurunan sebanyak 0.7 peratus berbanding Mei lalu, sementara indeks makanan dan minuman ringan serta indeks bukan makanan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 0.6 peratus dan 0.7 peratus.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam kenyataannya di sini hari ini menyatakan faktor utama yang menyebabkan penurunan pada IHP bulanan adalah indeks rekreasi dan kebudayaan sebanyak 2.6 peratus, terutamanya disebabkan oleh harga yang rendah bagi komputer dan aksesori komputer serta tumbuh-tumbuhan semula jadi dan bunga.

Ini diikuti oleh penurunan bagi indeks perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah sebanyak 1.5 peratus yang disebabkan oleh penurunan harga bagi kebanyakan perabot dan perhiasan.

Sementara itu, indeks makanan dan minuman ringan juga menurun sebanyak 0.6 peratus disebabkan oleh harga yang rendah bagi beras dan bijirin (0.1 peratus), daging (0.5 peratus), ikan dan makanan laut (1.1 peratus), susu, produk tenusu dan telur (0.3 peratus), minyak dan bahan lemak (1.2 peratus), sayur-sayuran (1.5 peratus), gula, jem, madu, coklat dan konfeksi (0.2 peratus), lain-lain produk makanan (0.8 peratus), teh dan koko (0.5 peratus) dan air mineral, minuman ringan, jus buah-buahan dan sayuran (0.9 peratus).

Manakala itu, indeks restoran dan hotel mencatatkan kenaikan sebanyak 0.5 peratus disebabkan oleh harga yang tinggi bagi beberapa hidangan terpilih di restoran dan kafe.

Indeks kesihatan juga meningkat sebanyak 0.2 peratus disebabkan oleh kenaikan harga yang rendah bagi penyediaan perubatan dan ubat yang berpaten, manakala, indeks yang tidak menunjukkan perubahan adalah indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain serta pendidikan.

Berbanding Jun 2015, IHP bagi Jun 2016 menurun sebanyak 1.1 peratus, sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh penurunan pada indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain sebanyak 4.2 peratus, pengangkutan (1.5 peratus) dan makanan dan minuman ringan (1.4 peratus).

IHP adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

Laporan penuh IHP bagi bulan Jun 2016 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE : ‘www.depd.gov.bn’.

ARTIKEL YANG SAMA