IHP Mac naik 0.8 peratus

IHP Mac naik 0.8 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Mac 2016 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding Februari 2016, sementara Indeks Makanan dan Minuman Ringan dan Indeks Bukan Makanan masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 0.2 peratus dan 0.9 peratus.

Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) hari ini, faktor utama yang menyebabkan kenaikan IHP bulanan ialah harga yang tinggi bagi Indeks Pengangkutan sebanyak 1.5 peratus, terutamanya bagi harga tiket tambang penerbangan. Ini diikuti oleh peningkatan Indeks Pakaian dan Kasut sebanyak 5.7 peratus disebabkan oleh kenaikan harga bagi beberapa pakaian, baju serta kasut.

Indeks Perhiasan, Peralatan Isi Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah juga meningkat sebanyak

2.1 peratus disebabkan oleh harga yang tinggi bagi tekstil isi rumah. Manakala Indeks Kesihatan dan Pendidikan indeks tidak menunjukkan perubahan.

Indeks Restoran dan Hotel pula mencatatkan penurunan sebanyak 0.6 peratus disebabkan penurunan harga beberapa hidangan terpilih di restoran dan kafe serta perkhidmatan penginapan.

Penurunan harga alat tulis dan alat lukisan pula menyebabkan Indeks Rekreasi dan Kebudayaan menurun sebanyak 0.1 peratus manakala harga yang rendah bagi peralatan telefon dan telefaks telah menyumbang kepada penurunan Indeks Perhubungan sebanyak 0.1 peratus secara keseluruhan

Berbanding Mac 2015, IHP bagi Mac 2016 meningkat kurang 0.05 peratus sebahagian besarnya disebabkan peningkatan Indeks Rekreasi dan Kebudayaan sebanyak 3.6 peratus; Pendidikan (6.0 peratus); dan Pengangkutan (0.5 peratus).

IHP adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP pula berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Mac 2016 boleh didapati di laman sesawang JPKE: www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA