IHP menurun 0.5 peratus

IHP menurun 0.5 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Julai 2015 menurun 0.5 peratus berbanding Jun 2015 dan 0.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ini berikutan penurunan sebanyak 7.5 peratus bagi pakaian dan kasut disebabkan harga yang rendah bagi kebanyakan pakaian, aksesori pakaian dan lain-lain keperluan pakaian serta kasut, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah juga menurun sebanyak 1.6 peratus disebabkan penurunan harga bagi kebanyakan perabot dan perhiasan, tekstil isi rumah, peralatan isi rumah, barangan kaca, pinggan mangkuk dan kelengkapan isi rumah, peralatan kecil dan pelbagai kelengkapan isi rumah serta barangan isi rumah yang tidak tahanlama.

Rekreasi dan kebudayaan menurun sebanyak 0.8 peratus disebabkan kos yang rendah bagi peralatan audio-visual, komputer dan aksesori komputer serta pakej percutian dan umrah.

Sementara itu, peningkatan sebanyak 1.0 peratus telah dicatatkan bagi indeks restoran dan hotel secara keseluruhan berikutan harga yang tinggi bagi beberapa hidangan terpilih di restoran dan kafe. Perhubungan juga meningkat sebanyak 1.2 peratus disebabkan oleh kos yang tinggi bagi peralatan telefon dan tele faks.

Manakala itu, penurunan berbanding Julai 2014, sebahagian besarnya, disebabkan oleh penurunan indeks pengangkutan, pakaian dan kasut serta pendidikan.

IHP merupakan petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Julai 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA