IHP November 2015 meningkat

IHP November 2015 meningkat

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan November 2015 meningkat sebanyak 0.6 peratus berbanding Oktober 2015.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya hari ini berkata, peningkatan sebanyak 2.7 peratus telah dicatatkan bagi perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah disebabkan peningkatan kos bagi perabot dan perhiasan, tekstil isi rumah, peralatan isi rumah, barangan kaca, pinggan mangkuk dan kelengkapan isi rumah serta peralatan kecil dan pelbagai kelengkapan isi rumah.

Indeks pakaian dan kasut juga meningkat sebanyak 5.2 peratus disebabkan harga yang tinggi bagi kebanyakan bahan-bahan untuk pakaian, baju dan kasut. Pengangkutan meningkat sebanyak 0.4 secara keseluruhan disebabkan oleh peningkatan harga perkhidmatan pengangkutan melalui udara.

Sementara itu, penurunan sebanyak 0.1 peratus telah dicatatkan bagi Indeks Makanan dan Minuman Ringan disebabkan oleh harga yang rendah bagi beras dan bijirin (0.1 peratus), susu, produk tenusu dan telur (0.3 peratus), minyak dan bahan lemak (0.8 peratus), buah-buahan (0.9 peratus), sayur-sayuran (0.8 peratus), gula, jem, madu, coklat dan konfeksi (0.4 peratus) serta kopi, teh dan koko (0.8 peratus).

Rekreasi dan kebudayaan juga menurun sebanyak 0.1 peratus disebabkan oleh kos yang rendah bagi komputer dan aksesori komputer, buku serta pakej percutian/umrah. Perhubungan menurun sebanyak 0.1 peratus secara keseluruhan disebabkan oleh penurunan kos bagi peralatan telefon dan tele faks.

IHP bagi November 2015 meningkat sebanyak 0.1 peratus berbanding November 2014 yang mana sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain; makanan dan minuman ringan; dan rekreasi dan kebudayaan.

ARTIKEL YANG SAMA