IHP Ogos meningkat

IHP Ogos meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Ogos 2016 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus berbanding Julai 2016, dengan Indeks Makanan dan Minuman Ringan mencatatkan penurunan seban-yak 0.2 peratus, manakala Indeks Bukan Makanan meningkat sebanyak 0.2 peratus.

Faktor utama yang menye-babkan peningkatan bulan-kebulan IHP adalah kenaikan pada Indeks Pakaian dan Kasut sebanyak 3.3 peratus, yang disebabkan oleh peningkatan harga bagi fabrik pakaian, kebanyakan pakaian dan baju serta kasut.

Ini diikuti oleh peningkatan bagi Indeks Pengangkutan disebabkan oleh kenaikan harga bagi kereta dan perkhidmatan pengangkutan melalui udara.

Indeks Perhiasan, Peralatan Isi Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah sebanyak 0.2 peratus yang disebabkan oleh peningkatan harga bagi tekstil isi rumah, kelengkapan isi rumah serta barangan kaca, pinggan mangkuk dan kelengkapan isi rumah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, hari ini.

Sementara itu, Indeks Makanan dan Minuman Ringan mencatatkan penurunan seban-yak 0.2 peratus disebabkan oleh harga yang rendah bagi beras dan bijirin (0.1 peratus), ikan dan makanan laut (0.5 peratus), susu, produk tenusu dan telur (1.1 peratus), buah-buahan (1.7 peratus), sayur-sayuran (0.7 peratus) dan produk makanan lain (0.2 peratus).

Indeks Rekreasi dan Kebudayaan juga mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus disebabkan oleh harga yang rendah bagi peralatan audio-visual, media rakaman tanpa rekod, majalah dan bahan bacaan lain serta pakej percutian dan umrah.

Ini diikuti oleh penurunan bagi Indeks Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Bakar Lain sebanyak kurang daripada 0.05 peratus disebabkan oleh harga yang rendah bagi barangan untuk penyelenggaraan dan pembaikan kediaman.

Manakala itu, indeks yang tidak menunjukkan perubahan adalah Perhubungan; dan Pendidikan

Berbanding Ogos 2015, IHP bagi Ogos 2016 telah menurun sebanyak 0.7 peratus, yang mana Indeks Makanan dan Minuman Ringan dan Bukan Makanan masing-masing telah mencatatkan penurunan sebanyak 1.7 peratus dan 0.5 peratus.

Sebahagian besar penurunan ini disebabkan penurunan pada Indeks Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Bakar Lain sebanyak 4.2 peratus; Makanan dan Minuman Ringan (1.7 peratus); dan Restoran dan Hotel (1.5 peratus).

IHP adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

Laporan penuh IHP bagi bulan Ogos 2016 boleh didapati melalui laman web JPKE di alamat www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA