IHP Sept meningkat

IHP Sept meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan September 2015 meningkat 0.1 peratus berbanding Ogos 2015.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE), peningkatan sebanyak 0.5 peratus telah dicatatkan bagi Indeks Perhiasan, Peralatan Isi Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah disebabkan kos yang tinggi bagi perkakas isi rumah utama sama ada elektrik atau tidak, peralatan kecil dan pelbagai kelengkapan isi rumah serta barangan isi rumah yang tidak tahan lama.

Pengangkutan juga meningkat sebanyak 0.3 peratus secara keseluruhan disebabkan oleh peningkatan harga perkhidmatan pengangkutan melalui udara. Pakaian dan Kasut meningkat sebanyak 1.1 peratus disebabkan oleh harga yang tinggi bagi kain, aksesori pakaian dan lain-lain keperluan pakaian serta kasut.

Sementara itu, penurunan sebanyak 3.9 peratus telah dicatatkan bagi Indeks Kesihatan disebabkan oleh penurunan kos bagi penyediaan perubatan dan ubat yang berpaten. Restoran dan Hotel menurun sebanyak 0.2 peratus secara keseluruhan disebabkan penurunan harga beberapa hidangan terpilih di restoran dan kafe. Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Bakar Lain juga menurun sebanyak 0.2 peratus disebabkan oleh kos yang rendah bagi sewa kediaman.

IHP bagi September 2015 menurun 0.6 peratus berbanding September 2014 yang mana sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan Indeks Pengangkutan, Pendidikan, Pakaian dan Kasut.

IHP ini adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu. Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehmelalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan September 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE: www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA