‘Ihsan Kasih’ DST ceriakan anak-anak yatim

‘Ihsan Kasih’ DST ceriakan anak-anak yatim

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Lebih 80 anak-anak yatim bersama penjaga mereka dari Daerah Tutong telah diceriakan dengan lawatan yang penuh dengan aktiviti pendidikan dan menghiburkan sebagai sebahagian daripada program kemasyarakatan ‘Ihsan Kasih’ DST.

Rombongan kanak-kanak tersebut disambut di Touchpoint DST di Tutong oleh kakitangan sukarelawan DST di mana mereka berpeluang untuk beramah mesra antara satu sama lain dan disajikan dengan buah tangan khas dari DST.

Selepas itu, mereka dibawa melawat ke Balai Bomba dan Penyelamat Berakas untuk mengetahui lebih lanjut tentang sistem Bomba dan Penyelamat di negara ini, di samping dapat bertemu dengan anggota bomba dan mengetahui rutin harian mereka.

Selepas lawatan pendidikan, kanak-kanak dan penjaga mereka telah dibawa ke Taman Permainan Jerudong dengan kemasukan eksklusif untuk merasai pengalaman bermain Supakart F1 dan F2 yang baru dibuka dan kemudian dibawa ke Taman Air Jerudong.

Menyentuh mengenai inisiatif DST bagi lawatan sambil belajar ini, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni berkata, beliau benar-benar gembira dapat menyumbang sesuatu kepada anak-anak yatim dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

Anak-anak yatim bersama penjaga dibawa ke Taman Permainan Jerudong dalam program kemasyarakatan ‘Ihsan Kasih’ DST.
Anak-anak yatim bersama penjaga dibawa ke Taman Permainan Jerudong dalam program kemasyarakatan ‘Ihsan Kasih’ DST.
Pengalaman menarik rombongan dapat bertemu dengan anggota bomba dan mengetahui rutin harian mereka.
Pengalaman menarik rombongan dapat bertemu dengan anggota bomba dan mengetahui rutin harian mereka.
Rombongan turut bermain Supakart di Taman Permainan Jerudong.
Rombongan turut bermain Supakart di Taman Permainan Jerudong.

Keseluruhan acara ini diharap untuk memastikan kanak-kanak dan penjaga mereka mempunyai pengalaman pendidikan yang menyeronokkan dan kepada kakitangan DST, ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

Inisiatif ‘Ihsan Kasih’ secara keseluruhan merujuk kepada interaksi dengan pelbagai komuniti seperti mereka yang kurang bernasib baik, anak-anak yatim dan individu keperluan khas di negara ini. Dengan aktiviti seperti ini, DST berharap dapat mewujudkan kesan positif dalam kehidupan seharian mereka.

DST secara proaktif telah merancang beberapa aktiviti untuk anak-anak yatim seperti kejohanan futsal di Daerah Brunei dan Muara, lawatan sambil belajar ke tempat-tempat seperti Tentera Udara Diraja Brunei, Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), dan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, menonton filem tempatan ‘Yasmine’, melawat Expo Dino dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA