Ihya Ramadan semarak bulan suci

Ihya Ramadan semarak bulan suci

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) telah mengadakan aktiviti ‘Ihya Ramadhan’ pada minggu terakhir persekolahan di bulan ini.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Forum Ramadan yang bertajuk ‘Kelebihan dan kebaikan Bulan Ramadan’ yang dikendalikan oleh Majlis Pelajar SMALHB sesi 2016/2017.

Ahli panel forum terdiri daripada Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Hilmy Baihaqy bin Haji Mohd Yussof, dan Mahasiswa Sarjana Falsafah Islamiyyah, Universiti Kaherah Mesir, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak yang telah mengupas mengenai hikmah berpuasa dari sudut rohani dan sains.

Hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Hajah Rusita binti Haji Yahya; pegawai-pegawai JPI; Pemangku Pengetua SMALHB, Hajah Norjainah binti Haji Buntar serta para pegawai dan guru SMALHB.

Aktiviti itu juga diisikan dengan majlis bersungkai bersama pelajar-pelajar asrama banin (lelaki) dan banat (perempuan) yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga SMALHB.

Tetamu kehormat ketika menyertai Majlis Khatam Al-Quran sebagai berakhirnya Aktiviti Ihya Ramadan SMALHB.
Tetamu kehormat ketika menyertai Majlis Khatam Al-Quran sebagai berakhirnya Aktiviti Ihya Ramadan SMALHB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil Arwah beramai-ramai di Surau At-Taqwa SMALHB dan diserikan lagi dengan Tazkirah Ramadan, seterusnya menunaikan solat Fardu Maghrib berjemaah.

Pada majlis yang berasingan, Aktiviti Ihya Ramadan itu telah ditutup dengan Majlis Khatam Al-Quran dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan kakitangan Sekolah.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah, Ketua Bahagian Kokurikulum JPI, Haji Ayop bin Haji Abdul Ghani selaku tetamu kehormat majlis, para jemputan lainnya dari JPI, pegawai-pegawai, guru-guru dan pelajar-pelajar SMALHB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Ayop, kemudian diikuti dengan bacaan surah-surah lazim dan bacaan Takhtim yang dipimpin oleh Kelab Syababul Quran.

Bacaan Doa Takhtim kemudian telah dibacakan oleh Ketua Unit Al-Quran dan Hadis sesi 2016/2017, Awang Basri bin Dr. Haji Serbini.

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian derma dan bantuan kepada anak-anak yatim dan kakitangan sekolah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Aktiviti menghidupkan bulan Ramadan ini bertujuan untuk meningkatkan ketakwaan dengan penuh penghayatan, keyakinan dan keikhlasan serta mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata’ala dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

ARTIKEL YANG SAMA