IIC adakan solat Aidilfitri pertama

IIC adakan solat Aidilfitri pertama

KUCHING, 4 Julai – Pusat Islam Sarawak (IIC) di Jalan Ong Tiang Swee di sini akan mengadakan solat Aidilfitri tahun ini, kali pertama sejak penubuhannya pada 2008.

Dalam kenyataan hari ini, IIC berkata solat sunat itu akan bermula pada 7.30 pagi, dengan Ustaz Razalie Hussaini daripada Jabatan Mufti Sarawak dijadual menyampaikan khutbah dalam bahasa Inggeris.

IIC mempelawa umat Islam yang tinggal di sekitar kawasan itu untuk sama-sama menunaikan solat Aidilfitri di situ.

Kata ICC, pertanyaan tentang perkara berkaitan boleh ditujukan kepada Muhammad Nahryl atau Adi Azhar melalui talian 082-420798/799 dan maklumat terkini boleh didapati daripada akaun Facebooknya.

IIC juga mengucapkan “Selamat Menyambut Aidilfitri” kepada semua umat Islam.

Pusat itu ditubuhkan untuk meningkatkan dan menyebarkan maklumat tentang kesucian agama Islam yang bersifat universal bagi meningkatkan kefahaman mengenainya dalam kalangan penduduk Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama. – Bernama